Malaysia Dateline

Projek runding terus tutup kemelut dua darjat, malukan pengkhianat PH

Tindakan Menteri Kewangan mendedahkan kononnya projek runding terus di bawah kerajaan Pakatan Harapan bernilai RM6.6 bilion adalah untuk mengalih perhatian kemelut ‘antara dua darjat’ ekoran perlanggaran kuarantin Menteri dari Pas.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad pula berkata, tindakan Datuk Tengku Zafrul Abdul Aziz itu bertujuan untuk memalukan menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini adalah menteri di dalam kerajaan Pakatan Harapan.

“Mohamed Azmin Ali bagaikan melompat bila perkara ini didedahkan. Saya tak tolak kemungkinan isu ini hendak malukan beliau juga.

“Ini mungkin permainan politik antara Umno dan Bersatu,” kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya berkata,  nilai RM6.6 bilion projek runding terus itu hanya 1.4% dari nilai perolehan keseluruhan sebanyak RM477.4 bilion yang diluluskan di bawah kerajaan PH.

“Semalam di Parlimen, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah cuba mengalihkan perhatian kemelut “antara dua darjat”, di mana Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi melanggari kuarantin kendiri selama 14 hari dan dikompaun “manja” hanya RM1,000, sedangkan mak cik warga emas berumur 72 tahun dihadapkan ke mahkamah dan didenda RM8,000 serta penjara 1 hari,” kata Guan Eng dalam kenyataannya.

Sehubungan dengan itu ahli Parlimen Bagan itu mencabar Menteri Kewangan mendedahkan apakah projek-projek runding terus yang telah diluluskan oleh kerajaan PH itu.

“Menteri Kewangan juga gagal untuk mendedahkan senarai penuh 101 projek rundingan terus PH dan syarikat terlibat. Mengapa takut untuk berbuat demikian?

“Menteri Kewangan tidak harus menyembunyi dan main sorok-sorok maklumat.

“Saya cabar dia dedahkan kesemuanya supaya rakyat boleh menilai dan membandingkan syarikat mana yang berjaya mendapat tender, kroni siapa yang dapat, serta Menteri mana yang memohon kelulusan rundingan terus,” kata beliau.

Bagi beliau, Zafrul takut akan terbongkar nanti bahawa Perdana Menteri sendiri, semasa menjadi Menteri Dalam Negeri PH dan Menteri-menteri “Pengkhianat” yang lain, pun ada memohon projek rundingan terus (direct award) daripada beliau sebagai Menteri Kewangan?

“Adakah Perdana Menteri PN juga bersalah jika beliau memohon projek rundingan terus pada masa itu? Sampai hati mereka ini “mengutuk” diri sendiri,” kata beliau.

Sebelum ini, seorang penulis Ipoh Mali mendedahkan bagaimana sebahagian dari projek runding terus berlaku dalam kerajaan PH ketika Lim Guan Eng adalah Menteri Kewangan.