Projek rundingan terus RM180 juta cat semula PPR, PPA batal serta-merta

Projek rundingan terus RM180 juta cat semula PPR, PPA batal serta-merta

Selepas didapati projek mengecat semula blok kediaman rakyat di Kuala Lumpur berjalan secara tidak telus, projek yang diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) itu dibatalkan berkuat kuasa mulai semalam.

Arahan serta-merta pemberhentian melibatkan flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA) itu diputuskan pada mesyuarat rasmi pertama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, bersama 10 Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Menurut Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, kesemua 10 kontraktor dalam projek bernilai RM180 juta itu dilantik secara rundingan terus bukannya melalui tender terbuka.

Beliau mendedahkan mereka terbabit adalah kontraktor yang sama dilantik bagi kerja pengubahsuaian pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini.

“Jadi, saya mempersoalkan mengapa mesti kontraktor sama dilantik,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Bagaimanapun, Mhd Amin Nordin memberitahu bagi proses mengecat yang sedang dijalankan akan diselesaikan terlebih dahulu.

Beliau berkata, DBKL hanya akan membayar kepada kontraktor mengikut sebahagian besar kerja mengecat yang disiapkan setakat ini.

“Kerja mengecat semula PPR dan PPA yang belum sempat disiapkan, akan dikaji semula berdasarkan keputusan akan datang,” katanya lagi dipetik dari Berita Harian.

Untuk rekod, Mhd Amin Nordin, 62, dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur berkuat kuasa 18 Julai 2015.

Pada 23 April tahun lalu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kerja-kerja mengecat dan membaik pulih bahagian dalam bangunan kediaman itu melibatkan 33 kawasan PPR dan 37 PA serta perumahan kos sederhana.

Sebuah blok di Kerinchi, Parlimen Lembah Pantai ketika dicat tahun lalu.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0