Malaysia Dateline

Projek ‘sakit’ Hospital Sri Aman sudah siap 82 peratus

Projek hospital baharu Sri Aman yang dikategorikan sebagai ‘sakit’ kini sudah mencapai status 82 peratus siap dan dijangka dapat beroperasi menjelang pertengahan tahun hadapan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye memberitahu, struktur bangunan itu kini sudah siap selain kerja-kerja menyiapkan mekanikal dan kejuruteraan termasuk kerja pemasangan bahagian dalaman yang akan mengambil masa antara lapan hingga 10 bulan.

“Selesai sahaja nanti, pihak kementerian akan mengambil alih projek hospital baharu itu dalam tempoh selama enam bulan bagi melaksanakan ujian dan pertauliahan bagi memastikan segalanya berjalan lancar,” katanya sempena lawatan kerja ke tapak projek pembinaan Klinik Kesihatan Lubok Antu di Sri Aman semalam.

Beliau menegaskan bahawa kontraktor projek hospital baharu tersebut sudah diberi dua kali lanjutan masa iaitu 460 hari dengan lanjutan masa ketiga mungkin akan dipertimbangkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kelak.

Pada masa sama, Lee turut mengumumkan beberapa projek pembinaan klinik kesihatan yang sedang melalui proses tender dan bakal dilaksanakan di negeri ini.

“Sebanyak lapan buah klinik kesihatan akan dibina iaitu di Miri, Tabuan Jaya, Serian, Siburan, Semalau, Nanga Kemaleh, Long Napir dan Simpang Bukut.

“Malah klinik kesihatan yang sudah diluluskan atau dalam proses tender sekarang ini bakal dibina di kawasan Lawas, Long Busang, Semok, Simpang Simunjan dan Long San,” ujar beliau lagi.