‘Projek sakit’ Taman Setia Indah diambil alih kerajaan negeri

‘Projek sakit’ Taman Setia Indah diambil alih kerajaan negeri

Status 427 unit rumah teres kos sederhana rendah di Taman Setia Indah, Johor Bahru yang terbengkalai semenjak 2014 kini diambil alih oleh pihak Kerajaan Negeri.

Menurut kenyataan media dari Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad berkata, pertemuan dengan jawatankuasa bertindak Persatuan Pembeli dan pembeli-pembeli projek perumahan tersebut telah berlangsung pada 26 September 2018 yang lalu.

Dzulkefly Ahmad

Menurut beliau lagi, kata putus dari pertemuan itu disepakati dengan cadangan pihak kerajaan akan mengambil alih projek berkenaan sebagai keberlangsungan bantuan kepada rakyat di Johor.

“Projek ini melibatkan pembinaan sebanyak 639 unit rumah teres kos sederhana rendah yang berharga RM 110,000 seunit yang dibina dalam 4 Fasa adalah dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ di bawah seliaan Jabatan Perumahan Negara (JPN).

“212 unit rumah Fasa 1 telah siap dibina pada tahun 2017. Manakala baki 427 unit yang lain dianggarkan 90 peratus telah siap ini mendapat persetujuan dari pihak kerajaan melantik Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) sebagai kontraktor penyelamat bagi projek tersebut sehingga sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dikeluarkan.

“Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor bersetuju supaya pemaju YMN Properties Sdn Bhd, melantik KPRJ sebagai kontraktor penyelamat bagi projek ini.

“Dengan itu ada risiko terhadap KPRJ di atas keputusan mahkamah yang berlangsung di antara kontraktor utama sebelum ini dan pemaju serta pendahuluan kos yang terpaksa dikeluarkan oleh KPRJ perlu diambil kira. Jalan keluar yang terbaik adalah pelantikkan KPRJ dibuat bersama dengan Kerajaan Negeri melalui Pengurusan Perbadanan Kerajaan Johor (SSI),” ujarnya ketika ditemui.

Sehubungan itu, beliau turut memaklumkan keadaan terkini yang berlaku membabitkan perbincangan di antara KPRJ dan pemaju bagi memulakan semula projek berkenaan pada bulan Februari nanti.

Beliau turut meluahkan hasrat agar sebarang kesulitan yang berlaku sebelum ini dapat diselesaikan dengan segera bagi kemudahan pembeli yang sudah banyak mengeluarkan kos bagi membeli rumah berkenaan.

“Saya berharap pihak pembeli boleh bersabar bagi membolehkan Kerajaan Negeri membuat tindakan sebagaimana yang telah dirancangkan bagi menyiapkan ‘projek sakit’ ini.

“Saya memahami rasa kecewa, kesukaran dan kepayahan yang dihadapi oleh pembeli-pembeli rumaha bila mana hasrat untuk menduduki rumah impian masih belum tercapai.

“Ada di kalangan pembeli telah membuat bayaran ansuran pinjaman bank sebanyak RM 530 sebulan semenjak 2012 disamping terpaksa pula membayar rumah sewa RM 600 sebulan.

“Kerajaan Negeri akan berusaha untuk menyiapkan serta memudahkan urusan dalam pembinaan semula 427 unit rumah tersebut,” ujarnya.