Malaysia Dateline

Projek sistem solar: Rosmah kekalkan pengakuan tidak bersalah

Pertuduhan baharu terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menerima rasuah RM5 juta membabitkan projek sistem solar Sarawak dipinda pendakwa, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Rosmah, 68, mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap tuduhan pindaan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu mahkamah bahawa pertuduhan pindaan dibuat berikutan pendakwaan membuat pindaan pada alamat tempat kejadian.

Mengikut kertas pertuduhan, Rosmah didakwa secara rasuah menerima suapan untuk dirinya wang tunai berjumlah RM5 juta, daripada Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal Mansor, 45, sebagai upah kerana membantu Jepak Holdings Sdn Bhd.

Ia bertujuan untuk mendapatkan projek yang dikenali “Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus dari Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan perbuatan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Persint 10 Putrajaya pada 20 Disember 2016.

Mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini alamat tempat kejadian di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini.

Dusuki kemudian, memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan untuk memindahkan kes itu sudah dibuat di Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah Tinggi menetapkan 28 Mei ini untuk pengurusan kes bagi meneruskan proses berikutnya.

“Pada 28 Mei mahkamah akan tetapkan tarikh untuk pendengaran permohonan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi,” katanya seprti dipetik bhonline hari ini.

Sehubungan itu, Azura menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi mengetahui maklumat terkini berhubung kes terbabit.