Malaysia Dateline

Projek SJKC Yuk Tze: PH Kelantan mohon peruntukan tambahan, kata Husam

 Pakatan Harapan (PH) Kelantan akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan peruntukan tambahan menyiapkan dua bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Yuk Tze di sini.

Pengerusinya Datuk Husam Musa berkata sekolah berkenaan memerlukan peruntukan tambahan berjumlah RM700,000 berikutan peruntukan sebelum ini tidak mencukupi bagi menyiapkan projek itu yang dijadualkan siap  Mac ini.

“Difahamkan sekolah telah mendapat peruntukan berjumlah RM2.2 juta sebelum ini tetapi tidak mencukupi bagi menyiapkannya. Jadi kita akan cuba cadangkan kepada kerajaan untuk menampung menyiapkan projek ini mengikut jumlah yang dipohon pihak sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke sekolah berkenaan bersama Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah  di Tumpat,  hari ini.

Pembinaan dua bangunan baharu itu mula dilaksanakan Januari tahun lepas berikutan bangunan sedia ada telah uzur selain kelas yang tidak mencukupi bagi menampung sejumlah 525 pelajar.

 “Saya difahamkan sekolah ini juga antara sekolah tertua di Kelantan dan dibina kira-kira 102 tahun lalu. Adalah sesuatu yang amat menggembirakan semua pihak jika permohonan ini diluluskan,” katanya.

Sementara itu Guru Besar SKJC Yut Tze Loo Ai Cheng berkata murid sekolah berkenaan terpaksa menumpang di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Kelaboran yang terletak kira-kira 350 meter dari sekolah terbabit sejak 2014 kerana kelas tidak mencukupi.

“Seramai kira-kira 200 murid terpaksa berjalan kaki dan berulang-alik sehingga empat kali sehari ke sekolah berkenaan berikutan kelas tidak mencukupi di sekolah ini,” katanya.

Loo berkata adalah menjadi harapan besar pihak sekolah agar kerajaan meluluskan permohonan tersebut agar murid dapat belajar dengan lebih selesa  dalam suasana yang lebih kondusif dan selamat.

Dalam perkembangan lain, Husam berkata pihaknya yakin Sultan Kelantan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong tanpa sebarang tekanan atau paksaan mana-mana pihak.

Katanya rakyat perlu akur dengan keputusan  itu dan perkara tersebut tidak perlu dikupas secara panjang lebar lagi kerana dikhuatiri akan menjejaskan kehormatan institusi beraja di negara ini.- BERNAMA