Projek Solar: Rosmah hadir di mahkamah dengar pendakwaan

Projek Solar: Rosmah hadir di mahkamah dengar pendakwaan

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur  berhubung projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Beliau hadir  pada  jam 8.30 pagi tadi.

Rosmah sebelum ini berdepan 19 pertuduhan berhubung pengubahan wang haram, mengelak cukai dan menerima rasuah. Pertuduhan hari ini adalah yang ketiga yang dikaitkan dengan projek solar untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Beliau dituduh menerima RM5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, pengarah urusan Jepak Holdings, syarikat yang mendapat kontrak RM1.25 bilion dari Kementerian Pendidikan melalui rundingan terus. Wang itu dikatakan diserahkan oleh pembantunya Rizal Mansor.

Rosmah yang telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada jam 1.45 petang semalam,  bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM.

SPRM sebelum itu telah mendapat izin mendakwa daripada pejabat Peguam Negara bagi menuduh Rosmah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari ini.

Kenyataan SPRM menyebut Rosmah bakal menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 16 (A) (a) Akta SPRM 2009.

SPRM telah menahan Rosmah selepas beliau hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes solar pada pukul 1.40 petang semalam.

Ini adalah kali ketiga Rosmah dipanggil untuk memberi keterangan, kali terakhir Rosmah hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan ialah pada 26 September lalu dan disoal siasat hampir 13 jam.

Kali pertama Rosmah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM ialah pada 5 Jun lalu dan disoal siasat lebih lima jam.

Sebelum ini, media melaporkan Rosmah mungkin berdepan sehingga 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan penggubahan wang haram.