Projek ‘Tangkap Malaysia Official 1’ merebak ke Sabah

Projek ‘Tangkap Malaysia Official 1’ merebak ke Sabah


Projek anak muda untuk menangkap 'Malaysia Official 1' kini merebak ke Sabah apabila mereka juga akan menganjurkan perhimpunan yang sama di Sabah pada 27 Ogos ini.

Projek anak muda untuk menangkap ‘Malaysia Official 1’ kini merebak ke Sabah apabila mereka juga akan menganjurkan perhimpunan yang sama di Sabah pada 27 Ogos ini.

Ia bakal menambahkan kepanasan politik di negeri itu dengan tindakan keluar beramai-ramai dari Umno oleh penyokong bekas naib presidennnya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Anak muda dan mahasiswa Sabah menyambut baik kempen #TangkapMalaysiaOfficial1 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 27 ogos 2016 ini.

“Kami melihat himpunan ini diadakan sebagai tanda protes kepada kegagalan Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak menyelesaikan kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga menyaksikan Jabatan Kehakiman Negara (DOJ) Amerika Syarikat (AS) mengumumkan senarai nama yang terlibat dalam pengkhianatan berbilion ringgit dana awam itu,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka.

Ia ditandatangani oleh Mukmin Nantang, Koordinator Himpunan #TangkapMO1 Sabah.

Menurut beliau, anak muda dan rakyat Sabah mengambil serius laporan DOJ baru-baru ini yang mengesahkan berlaku penyelewengan dana 1MDB apabila menyebut tentang beberapa individu yang terlibat iaitu ‘Malaysia Official 1’, anak tiri Perdana Menteri Malaysia(Najib Razak) iaitu Riza Aziz dan ahli perniagaan kontroversi, Jho Low.

“Kesemua individu yang disebutkan diatas mesti diheret ke muka pengadilan kerana telah menyeleweng secara besar-besaran wang titik peluh dan penat lelah rakyat Malaysia,” katanya.

Selain itu, katanya, tindakan ini penting bagi membersihkan nama baik negara Malaysia daripada skandal yang menelan berbillion ringgit.

Bagi beliau, tindakan kerajaan yang hanya berdiam dan gagal mendapatkan solusi akhir bagi menyelesaikan masalah ini memburukkan lagi keadaan apatah lagi ekonomi negara Malaysia yang tidak stabil akibat hilang kepercayaan pelabur asing terhadap Malaysia.

Malah, katanya, pergolakan politik, memburukkan lagi keadaan ekoran kesannya yang mengheret rakyat ke lembah perpecahan.

Rakyat juga sedang dihimpit dengan cukai GST yang membebankan dan penerokaan hasil bumi yang giat untuk menambah pendapatan negara, katanya lagi menyokong rakan-rakannya di semenanjung.

Oleh itu, beliau mengajak agar usaha bersama perlu dilakukan oleh rakyat sabah dan perlu bersatu dalam membanteras kebejatan ini.
“Masih adakah anak muda dan mahasiswa di negeri ini yang mampu mengorbankan sepenuh jiwanya untuk rakyatnya dan generasi akan datang?” cabar beliau.

Justeru, katanya, atas dasar kesedaran mengenai segala kebejatan yang berlaku, mereka mengumumkan satu himpunan rakyat akan diadakan pada 27 Ogos 2016 bersamaan hari Sabtu bertempat di Kota Kinabalu Sabah.

“Himpunan ini akan dikelola oleh mahasiswa dan anak muda,” katanya.
Oleh itu, mereka menyeru rakyat Malaysia, khususnya di Sabah yang terdiri daripada rakyat berbilang bangsa, para buruh, NGO, gerakan mahasiswa, gerakan anak muda dan parti politik untuk bersama-sama menjayakan himpunan #TangkapMalaysiaOfficial1 sebagai tanda protes kepada kerajaan yang sentiasa diam dalam hal penyelewangan wang rakyat.

Selain itu, himpunan ini juga diadakan bagi mendesak agar ketiga-tiga individu berkenaan diheret ke muka pengadilan, katanya.

TAGS