Projek zaman BN di Kulim akan dikaji semula

Projek zaman BN di Kulim akan dikaji semula

Pelbagai projek pembangunan yang direncanakan serta dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini di kawasan Kulim akan dikaji semula ketelusannya.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kulim, Yeo Keng Chuan (gambar atas – tengah).

Menurut beliau, kajian semula tersebut perlu diakukan bagi mengelak wujudnya unsur-unsur korup maupun penyelewengan.

“Kita akan mengkaji kembali sama ada projek-projek tersebut boleh diteruskan untuk pembangunan atau sebaliknya.

“Seandainya tiada masalah maupun unsur rasuah atau salah guna kuasa bagi melaksanakan pembangunan yang dirancang, ia boleh diteruskan.

“Sebagai contoh, projek naik taraf jalan yang sedang dijalankan di Jalan Kota Kenari yang sememangnya perlu dibaiki kerana keadaanya semakin teruk, maka ia akan diteruskan,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Naib Ketua Cabang PKR Kulim-Bandar Baharu turut berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kulim-Bandar Baharu akan memastikan segala janji dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu menjadi realiti.

Taman Tasik Putra akan dinaik taraf menjadi daya tarikan pelancong di Kulim.

“Antara pembangunan yang telah dijanjikan akan dilaksanakan dengan kadar yang segera bagi memastikan rakyat mendapat manfaat seperti yang mereka harapkan.

“Lampu-lampu jalan bagi kawasan Dun Kulim akan diperbanyakkan memandangkan ia suatu keperluan di kebanyakan kawasan.

“Menaik taraf jalan-jalan yang rosak juga merupakan keutamaan yang diberi perhatian agar ia dapat dilaksanakan secepat mungkin,” ujarnya.

Tegas Yeo lagi, selain itu aktiviti pelancongan merupakan salah satu janji yang ada dalam manifesto baru-baru ini.

Malah katanya, tempat tarikan pelancong yang begitu banyak di kawasan Kulim akan turut diberi perhatian serius dalam tempoh terdekat.

“Tasik Tunku Putra, Kulim yang menjadi mercu tanda kawasan ini akan dinaik taraf memandangkan ia merupakan antara lokasi yang menjadi tarikan pelancong saban hari.

“Dengan melaksanakan apa yang telah dijanjikan, ia akan memberi impak yang positif kepada kerajaan PH yang sedang menerajui kepimpinan negeri Kedah.

“Di samping itu mereka yang seharusnya diberi pembelaan termasuk golongan yang memerlukan akan diberi perhatian serius tanpa lengah, ” tambah beliau lagi.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES