Malaysia Dateline

Proklamasi Darurat, rakyat dan teori pusaran keheningan

Proklamasi Darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sehingga 1 Ogos adalah langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Kita menghormati proklamasi darurat inu demi keselamatan negara. Keputusan Yang di-Pertuan Agong sudah tentu dibuat setelah mengambil kira segala hal terutamanya berhubung penularan Covid-19 yang semakin meningkat.
Namun pada yang sama YDPA juga haruslah memantau supaya proklamasi darurat ini tidak disalah gunakan oleh pihak-pihak tertentu demi kepentingan survival mereka.

Umum mengetahui bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah kehilangan majoriti setelah Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz menolak menyokong kerajaan PN. Namun penolakan hanya datang setelah darurat diproklamasikan.

Kita juga berharap kes Covid-19 (C-19) akan berkurangan dan keadaan negara akan lebih stabil. Dari segi politik, kerajaan PN akan cuba mengembalikan majoriti tersebut sebelum mengumumkan pilihan raya.

Adakah Umno akan bekerjasama semula dengan Bersatu, sekiranya terdapat rundingan-rundingan yang boleh memberi kemanfaatan kepada mereka untuk memberikan jumlah kerusi kepada PN? Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir telah menyatakan kesediaan untuk berunding dengan Umno bagi mendapatkan kerusi sokongan supaya kerajaan baharu dapat dibentuk.

Proklamasi darurat di samping membendung C-19, pada masa yang sama ia boleh juga membuka ruang di sebalik pelitup untuk PN mengukuhkan kuasa mereka. Percaturan strategi boleh sahaja dilancarkan secara halimunan. Di samping Umno pertemuan dan perjumpaan untuk memancing dan tawar-menawar boleh berjalan dengan parti-parti lain.

Siapa tahu tidak salah bagi kalangan pemimpin Bersatu bertemu beberapa pemimpin Amanah, Pejuang atau Warisan atau ahli parlimen bebas. Pada mereka PN akan mengukuhkan hubungan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Kita jangan terkejut di akhir Ogos gabungan besar baharu boleh dibentuk sebagai persediaan pilihan raya. PKR dan DAP mungkin harus juga mengukuhkan hubungan dengan gabungan parti sedia. Tidak dipastikan kedudukan Umno yang telah berpecah kepada tiga atau empat kluster dan bagaimana ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hendak meraih sokongan tersebut.

Ia tentu akan dibantah oleh DAP pula. Namun di sebalik segala percaturan politik, darurat ini secara tidak langsung dapat membawa rakyat kepada satu mesej iaitu pembendungan C-19.

Tidaj dinafikan inilah matlamat negara tetapi matlmat yang tidak terungkap akan bergerak selari di sebalik pelitup, itulah yang diharapkan oleh mereka yang ingin terus berkuasa dan menang dalam pilihan raya akan datang nanti. Mereka akan cuba mengelakkan sebarang pembentukan kerajaan baharu.

Teori yang digunakan ialah teori pusaran keheningan. Teori ini merupakan salah satu teori komunikasi massa. Teori pusaran keheningan dalam bahasa Inggerisnya disebut sebagai ‘Spiral of Silence Theory’.

Secara bahasa, teori pusaran keheningan diambil dari kata ‘Spiral’ yang bermaksud suatu pilin, gelung, lingkaran dan ‘Keheningan’ itu dikaitkan dengan sunyi dan sunyi diboleh takrif sebagai bisu. Sebenarnya, teori ini merupakan salah satu dari teori komunikasi politik.

Dalam ilmu komunikasi, teori keheningan ini berlaku apabila seseorang yang memiliki pandangan dalam berbagai isu tetapi berasa ragu dan takut untuk memberikan pandangannya kerana merasa terasing, sehingga pandangan itu tidak bersifat terbuka.

Dengan adanya pengasingan akan pandangan setiap individu dan kumpulan, maka lama kelamaan segala pandangan akan berpusar menjadi hening, sepi, senyap, bisu dan dilupakan walaupun ia merupakan pandangan majoriti. Kekadang pandangan ini boleh menjadi majoriti yang diam.

Berita peningkatan kes C-19 adalah suatu realiti yang tidak boleh dipungkiri, fakta setiap hari. Rakyat akan berasa takut dengan peningkatkan kes ini. Tetapi pada pandangan ahli politik proklamasi darurat di samping pembendungan juga bertujuan melanggengkan kuasa, walaupun sudah ketiadaan majoriti.

Rata-rata bagi rakyat survival kesihatan dan ekonomi adalah penting. Memang betul perkara ini perlu diatasi sebagai menyelamatkan negara daripada bencana kesihatan dan ekonomi yang lebih parah lagi.

Inilah di mana teori ini berfungsi iaitu sebab musababnya: sebab membendungi C-19 dan musabab suara-suara membantah proklamasi darurat ini diheningkan melalui pusaran yang terus berpusar sehingga akhirnya ia dibisukan.

Pandangan bantahan darurat lama kelamaan akan dipinggirkan ke lingkungan politik kepartian dan pengikut. Majoriti rakyat lebih mementingkan kesejahteraan negara dan jika PN berjaya mengnakhodai bahtera arus C-19 ini, mereka ahirnya akan berlabuh di Pelabuhan damai dengan segala kekuatan persediaan menuju PRU.

Apa yang penting ialah pandangan rakyat dan mereka sendiri yang akan menolak pandangan suara politik membantah proklamasi darurat.

Dalam menghadapi berbagai isu yang dianggap boleh memecahkan kerukunan negara, maka akan terbentuk kesan tentang pandangan tersebut. Rakyat akan menentukan pandangan tersebut bersifat majoriti atau tidak dan seirama dengan mereka atau tidak.

Ini juga memandangkan sudah ada pandangan autoriti yang menyuarakan supaya tidak mengeksploitasi pengisytiharan darurat untuk sebarang tujuan bercanggah yang dengan perlembagaan dan undang-undang negara dan dianggap menderhaka kepada YDPA.

Rumusan awam akan berada antara hubungan rakyat dan media massa (terdiri daripada media baharu termasuk media sosial) dengan pembentukan pandangan rakyat yang terjadi. Dalam hubungan ini kita sedang berhadapan dengan perang infodemik antara mereka yang menyokong proklamasi darurat dengan yang menentangnya,

Di samping media arus perdana yang sendeng kepada PN, pertarungan keras sedang berlaku di media sosial dan hebat dalam pusaran menghening atau membisu pandangan kontra.

Di sinilah penentuan pandangan yang dirumuskan rakyat. Walaupun pandangan ini bukan mutlak kerana banyak faktor yang akan mengukuhkan rumusan oleh rakyat seperti konteks sekeliling, ekonomi, sosial, kesihatan, politik dan kesetiaan kepada parti turut memainkan peranan penting.

Proklamasi darurat secara tidak langsung dapat membisukan suara dan bantahan politik pembangkang ke sudut keheningan dan media massa akan memainkan peranannya. Isu-isu eksploitasi,,derhaka, tidak menghormati YDP akan digunakan untuk kepentingan politik dan pihak berkuasa harus memperincikan setiap kenyataan yang digunakan itu sama ada ia mengancam kestabilan negara?

Hakikatnya proklamsi darurat seolah-olah menambah ketidaktentuan tentang hala tuju negara kerana yang kita nampak hanyalah rancangan kontigensi yang bersifat sementara sahaja. Inilah yang dibimbangi yang akan terjadi kepada negara kita sedang menuju ke arah kehilangan arah tujuan.

Tanda pertama dapat diperhatikan daripada tenaga kerja kita yang diingini Indonesia, maka akan menyaksikan rakyat kita berkerja di sana. Ini berikutan penutupan beberapa syarikat kenderaan di Malaysia juga tenaga kerja profesional dijangka akan berpindak ke sana.
Ends.
———————————
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor (Unisel)