Malaysia Dateline

Promas sasar jualan RM15 juta pada misi pemecutan eksport ke Australia, NZ

Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia (Promas) menyasarkan jualan RM15 juta daripada program Misi Pemecutan Eksport ke Australia dan New Zealand mulai 24 hingga 30 Jun ini.

Pengarah Strategik, Datuk Naim Mohamad berkata kira-kira 15 syarikat yang terlibat dalam sektor antaranya, makanan, minuman, pertanian dan kesihatan akan menyertai program tersebut dengan setiap syarikat dijangka menjana pendapatan RM1 juta.

“Promas merupakan platform kepada usahawan bumiputera dan bukan bumiputera untuk meluaskan pasaran produk mereka ke peringkat dunia. Program ini bertujuan meninjau peluang pasaran yang ada di Australia dan New Zealand.

“Kita akan mengadakan sesi suai padan perniagaan dengan peniaga di sana yang berminat untuk menjual produk Malaysia. Ini merupakan kelebihan bagi Malaysia kerana kita mempunyai Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang bertindak sebagai jawatankuasa penyelarasan program promosi eksport,” katanya kepada Bernama selepas mesyuarat persatuan itu di sini, hari ini.

Misi Pemecutan Eksport ke Australia dan New Zealand merupakan antara program yang dijalankan bagi mempromosikan produk keluaran negara ke negara lain menerusi Kesatuan Sedunia bagi Persatuan Pertanian (WUAA) dengan Malaysia merupakan pengerusinya buat kali pertama bagi tempoh 2019 hingga 2020.

WUAA adalah organisasi global bukan kerajaan tidak berasaskan keuntungan yang khusus untuk pembangunan dunia selain kerjasama antara semua persatuan pertanian dari seluruh dunia, terdiri 20 negara termasuk China, Rusia dan Jepun.

Naim berkata menerusi misi tersebut, Malaysia juga dapat mempelajari kepakaran negara luar yang mempunyai pelbagai teknologi canggih dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil pertanian serta produktiviti negara sekali gus mampu menjana pendapatan rakyat, menambah bekalan makanan negara serta mengurangkan import.

“Menerusi misi ini kita boleh mendedahkan usahawan tempatan kepada teknologi terkini, memperluas rangkaian perniagaan di samping mendapat petunjuk baharu bagi jualan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah MATRADE Bahagian China dan Asia Timur Laut, Ong Yew Chee berkata produk makanan Malaysia semakin menjadi pilihan penduduk Eropah, justeru Promas turut digalakkan untuk memasarkan produk berkenaan ke sana.

“Pelajar Malaysia juga ramai di Australia dan New Zealand dan mereka ingin mendapatkan produk makanan Malaysia

“Ada juga rakyat Malaysia yang berhijrah ke sana dan menjual produk serta membuka restoran makanan Malaysia, jadi kita lihat produk makanan Malaysia mudah untuk meraih permintaan ramai,” katanya.

Beliau berkata selain produk makanan, MATRADE juga bercadang memasarkan alat ganti kenderaan ke kedua-dua negara tersebut memandangkan tidak banyak kilang yang mengeluarkan alat ganti kenderaan di sana.

“Kita memilih kedua-dua negara ini kerana melihat ada potensi bagi peluang perniagaan selain ingin memperluas pasaran produk Malaysia,” katanya.

— BERNAMA