Malaysia Dateline

Promosi Kempen Beli Barangan Malaysia diadakan di Kuching

Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menganjurkan Kempen Beli Barangan Malaysia dan Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Negeri Sarawak 2019.

Timbalan Menteri KPDNHEP Chong Chieng Jen berkata, kempen anjuran kementeriannya itu bakal diadakan selama tiga hari mulai 18 hingga 20 Oktober ini bertempat di Dataran MJC Batu Kawa, Kuching.

“Untuk itu,saya menjemput seluruh warga Kuching dan kawasan di sekitar untuk bersama-sama menyokong kempen tersebut selama tiga hari dari 18 hingga 20 Oktober bermula jam 8 pagi hingga 10 malam.

” Ia adalah bertujuan bagi mempromosikan produk keluaran tempatan dan meningkatkan kesedaran pengguna tentang kualiti produk serta perkhidmatan buatan Malaysia yang dilihat mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut Chong, kempen tersebut merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memasarkan produk-produk mereka kepada orang ramai.

Sehubungan itu, beliau berharap agar orang ramai dapat memberi sokongan dengan datang beramai-ramai memeriahkan kempen ini dan mengutamakan barangan Malaysia selain memperbanyakkan berbelanja barangan tempatan sepanjang kempen ini dilangsungkan.

“Adalah diharapkan menerusi penganjuran kempen ini nanti akan dapat merangsang pertumbuhan ekonomi domestik negara dan berupaya membantu menjana pendapatan ekonomi tempatan,” jelasnya.

Sebanyak 72 buah gerai jualan dan pameran serta 10 buah trak makanan yang menawarkan pelbagai produk tempatan daripada pelbagai usahawan tempatan perseorangan dan PKS akan menyertai festival berkenaan.

Turut diadakan ialah acara cabutan tiket bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada para pengunjung yang datang nanti.

“Untuk tarikan kepada orang ramai yang hadir ialah dengan menawarkan hadiah utama sebuah kereta Perodua Axia.

“Sesiapa yang membeli barangan dengan jumlah perbelanjaan lebih RM50 hingga RM100 dalam satu resit tunggal berhak mendapat satu kupon.

” Dan sekiranya lebih RM100 (satu resit tunggal), pelanggan layak mendapat dua kupon,” tambah beliau.

Justeru, beliau menyeru agar warga Kuching dapat merebut peluang ini kerana sepanjang kempen tersebut, KPDNHEP turut mengadakan jualan murah untuk minyak masak, gula, tepung dan sebahagian barangan runcit yang lain pada slot tertentu.