Malaysia Dateline

Propaganda musuh tajamkan sentimen Anwar-Mahathir dalam AMANAH

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil menegaskan sentimen Anwar-Mahathir terus berlegar dalam kalangan ahli parti itu ekoran manipulasi propaganda pihak musuh.

Menurutnya, sentimen membabitkan dua regu berkenaan paling berkesan untuk mengelirukan ahli sekali gus menggoncang kesepakatan parti-parti di dalam Pakatan Harapan (PH).

“Sentimen propaganda melaga-lagakan Anwar-Mahathir ini mudah termakan tetapi perlu tahu, resepi penyatuan mereka itu yang membuatkan kita berjaya jatuhkan Barisan Nasional (BN).

“Mereka (ahli) mudah terpengaruh dengan propaganda musuh yang mahu melihat ketidaksepakatan antara PH supaya PN terus kekal sebagai kerajaan,” tegasnya ketika ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Bagi memastikan dasar parti dan keputusan pimpinan sampai kepada akar umbi, jelasnya, AMANAH kerap melakukan sesi dialog bersama Presiden yang turut dihadiri pimpinan tertinggi lain.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan kononnya pimpinan AMANAH Nasional tidak turun ke padang memberi penjelasan kepada akar umbi sehingga polemik Mahathir-Anwar masih terus berbangkit.

“Pimpinan juga sentiasa turun padang. Cuma peringkat akar umbi ini nampaknya lebih percaya kepada media sosial.

“Sebab itu saya ingatkan, jangan termakan dengan propaganda musuh yang sedang disebarkan melalui media sosial.

“Sebaliknya, ahli AMANAH perlu berpegang kepada pendirian parti yang ditetapkan oleh kepimpinan tertinggi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Faiz yang juga Adun Permatang Pasir berkata, pendirian AMANAH menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri adalah jelas, namun parti itu tidak pernah memusuhi Mahathir.

“Apa yang berlaku ketika ini dengan spekulasi membabitkan perpecahan ahli di peringkat akar umbi, tidak sepatutnya dikaitkan dengan tindakan seorang Adun yang meninggalkan parti,” katanya.

Jelasnya, peringkat pimpinan tertinggi masih tidak dimaklumkan alasan Adun berkenaan menyertai PKR, malah tidak timbul isu kekeliruan di pihak pimpinan tertinggi dalam memilih calon Perdana Menteri.

“AMANAH tidak pernah mengisytiharkan mana-mana Adun digugurkan daripada parti. Melainkan mereka sendiri telah memohon menyertai parti lain secara senyap melalui pintu belakang dan tidak pula menafikannya selaras dengan peraturan parti.

“Sekiranya ada alasan yang mengatakan sebab perbezaan pandangan berkaitan pencalonan Perdana Menteri, AMANAH telah tegaskan daripada awal, pilihan parti adalah Anwar.

“Pendirian kita sangat jelas, tetapi kita tidak akan mengenepikan mana-mana pihak yang ingin bersama menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN). PH Plus juga adalah keputusan Majlis Presiden PH,” kata Faiz lagi.

Terdahulu, tindakan lompat Adun Meru, Mohd Fakhrulrazi mula dikaitkan dengan perpecahan dalam AMANAH yang didakwa kerana pimpinan tertinggi berbeza haluan dalam menyokong calon Perdana Menteri.

Lapor FMT yang memetik sumber dalaman AMANAH, kekeliruan di peringkat pimpinan tertinggi parti itu menyebabkan ahli di peringkat akar umbi sukar untuk menetapkan pendirian sokongan.