Malaysia Dateline

Propaganda politik di FB KKM: Kembar pemimpin Pemuda Umno arah siar

Kembar kepada Ketua Penerangan Pemuda Umno, Mohd Shahar Abdullah dikatakan memberi arahan kepada pegawai di Unit Komunikasi Korporat (UKK) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyiarkan hantaran bermotif propaganda politik semalam.

Shahar yang merupakan Timbalan Menteri II Kewangan juga Ahli Parlimen Paya Besar mempunyai saudara kembar, Mohd Sharil Abdullah yang dilantik sebagai Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Arahan daripada Sharil itu diakui pegawai di UKK KKM seperti terakam dalam tangkap layar sembang kumpulan WhatsApp KKM Stormtroopers.

“As salam terima kasih. Posting dinaikkan atas arahan SUSK YBMK (Yang Berhormat Menteri Kesihatan),” kata individu atas nama LivingLegend.

Sharil adalah calon Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Jabatan Telekomunikasi di Delft University of Technology (TUDelft) yang antara lain mengkaji tentang komunikasi grid pintar, radio teknologi fiber dan virtualisasi rangkaian.

Beliau sebelum ini ialah Ketua Pentadbiran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur yang kemudiannya diganti dengan Mohd Najib Masroom berkuatkuasa pada 21 Mac lalu.

Semakan Malaysia Dateline mendapati nama samaran LivingLegend berserta nombor telefon tanpa profil gambar itu juga wujud dalam kumpulan WhatsApp Media KKM.

Selepas disiasat termasuk merujuk portal rasmi KKM, individu tersebut ialah Pegawai Komunikasi Strategik Gred S51, Tuan Nazuri Tuan Ismail dari UKK KKM.

Walau bagaimanapun, Nazuri kemudiannya dalam reaksi terbuka di kumpulan WhatsApp Media KKM memberitahu tangkap layar yang tular itu bukan menggambarkan keseluruhan perbualan.

Screen shot itu tak sampai 10 peratus perbualan sebenar. Info screen shot itu SALAH. Sekarang cyberstroopers (tentera siber) politik aktif. Silap ejaan pun kena kecam,” ujarnya pada jam 11.38 pagi tadi.

Sumber dalaman memaklumkan Nazuri bukannya lantikan pegawai ketika pentadbiran PH sekali gus menafikan dakwaan tentera siber Perikatan Nasional (PN) tertentu kononnya UKK KKM yang diketuai Yamuna a/p Perimalu sebagai Ketua Komunikasi Korporat, Gred S54 cuba mensabotaj kerajaan ‘tebuk atap’.

Difahamkan lagi, Nazuri berkhidmat di UKK KKM sejak pentadbiran Datuk Seri Dr. S. Subramaniam sebagai Menteri Kesihatan (Mei 2013 hingga Mei 2018).

Tangkap layar mendedahkan pengakuan pegawai komunikasi KKM.

Siapa ‘admin’ FB KKM?

Semalam, Facebook rasmi KKM memadam muatnaik bermotif propaganda politik yang memuji Adham dalam menangani krisis wabak Covid-19 selepas dihujani kecaman orang ramai.

Hantaran yang dipetik dari laman ‘Friends of Adham Baba’ dan bertahan kira-kira 10 minit itu menganggap Adham sebagai lebih baik berbanding menteri terdahulu dari kerajaan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Menteri kesihatan zaman PN (Perikatan Nasional) tak banyak cakap, tak banyak cerita. Awalan hari pertama masuk kerja terus sekat pelancong Iran, Itali dan Korea.

“Terus memastikan hubungan baik dengan China bersama Kementerian Luar bagi membantu bekalan sumbangan peralatan di Malaysia.

“So nampak tak beza? …Apa yang penting ada “sense of urgency”. Bukannya blurr,” jelas hantaran dalam bahasa rojak itu.

Mengulas insiden itu, Yamuna mengajak media mengabaikan hantaran itu.

“Kami mempunyai beberapa masalah teknikal. Sila abaikannya,” katanya menerusi Whatsapp kepada pihak media malam tadi.

Dalam hal berkaitan, Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan turut mempersoal kewajaran hantaran tersebut.

“Adakah kerana terdapat orang politik yang baru dijadikan ‘admin’ page kementerian?

“Adakah terdapat campur tangan politik dalam komunikasi korporat KKM yang sebelum ini bebas dari politik?” soal peguam itu.

Syahredzan turut mempersoal kemungkinan lebih banyak hantaran seperti itu atau mungkin dengan cara yang lebih ‘halus’ untuk tujuan politik akan wujud pada masa akan datang.

Tidak ketinggalan memberi reaksi ialah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun tidak merujuk mana-mana pihak secara khusus.

Ahli Parlimen Pekan itu menegur kerajaan PN agar tidak melakukan hal dengan mengaitkannya dengan kerajaan PH sebelum ini.

Menerusi hantaran di Facebook pagi tadi, Najib menasihatkan kerajaan PN tidak menggunakan saluran rasmi kerajaan, termasuk laman Facebook, untuk tujuan sindiran atau ‘troll’ dan propaganda.