Propaganda Umno-Pas buat orang bukan Islam rasa tidak selamat, kata Khalid

Propaganda Umno-Pas buat orang bukan Islam rasa tidak selamat, kata Khalid

Ungkapan propaganda yang digunakan Umno dan Pas mengakibatkan orang bukan Islam berasa tidak selamat di negara ini kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad.

Beliau berkata, kerjasama Pas-Umn yang sering melaungkan Melayu dan Islam memberi konotasi seolah-olah kedua-dua parti itu boleh melahirkan bibit kebimbangan kepada bukan Islam.

“Mereka menggunakan ungkapan negara bahaya, terancam oleh orang bukan Islam, maka seruan mereka adalah seruan menyatukan Melayu dan Islam untuk menghadapi ancaman bukan Islam.

“Kalau mereka menggunakan seruan sedemikian, tidak salah bagi orang bukan Islam menganggap ia merupakan satu kesatuan yang berasaskan kebencian terhadap bukan Islam,” katanya kepada media ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming bahawa kerjasama Umno dan Pas akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti berjaya membentuk kerajaan sekali gus memecah-belahkan rakyat.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen pula senada dengan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi, kempen kedua-dua parti negatif dan terarah kepada melahirkan rasa ketakutan dan kebencian diantara orang Islam dan bukan Islam.

“Jadi tidak salah jika bukan Islam terasa terancam kerana kempennya selalu kempen kebencian dan ketakutan itu yang mereka buat, ia tidak normal dan natural.

“Kita perlu ajak rakyat menganggap negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, kembali kepada asas Malaysia, hormat agama dan budaya sesama sendiri,” ujarnya lagi.

Katanya Umno-Pas bukan sahaja mengancam Pakatan Harapan malah keseluruhan negara.

“Pas dan Umno bukan hanya ancam PH tapi juga seluruh negara kerana kamu lihat propaganda yang dilakukan. Menggunakan isu perkauman dan agama jadi saya setuju dengan komen saudara Nga Kor Ming,” ujarnya.