Proses demokrasi mula beroperasi lebih sihat, kata Hanipa

Proses demokrasi mula beroperasi lebih sihat, kata Hanipa

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Mohamed Hanipa Maidin berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu menghormati suara rakyat walaupun beliau sendiri tidak nampak sebarang faedah pun BN menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih.

Menurut Ahli Parlimen Sepang itu, kemenangan proses demokrasi terbukti wujud seperti dalam keputusan PRU-14 yang menyaksikan kekalahan besar BN mahupun kemenangan BN dalam PRK di Parlimen Cameron Highlands dan Semenyih.

“Meskipun saya tak nampak sebarang faedah pun BN menang, namun saya rasa kami dari PH kena hormat suara rakyat.

“Orang putih kata it is a real feather in our cap (satu pencapaian yang boleh dibanggakan) untuk buktikan proses demokrasi mula beroperasi dengan lebih sihat di negara tercinta,” ujar peguam tersebut dipetik dari Facebook beliau.

Hanipa juga berpendapat PH tidak boleh menyalahkan rakyat jika percaya pada politik perkauman dan keagamaan sempit.

“Jika rakyat percaya pada politik perkauman atau percaya insan yang digelar Bossku atau percaya kepada politik keagamaan sempit yang dimainkan oleh BN dan sekutu baru mereka… parti ehem (Pas), kami tak boleh salahkan rakyat sebenci atau semeluat mana sekalipun hingga mungkin hampir nak muntah hijau sekalipun dengan ‘genre’ politik sebegitu.

“Itu menunjukkan demokrasi sedang bekerja. Ketakutan tidak lagi menjadi faktor dalam politik kita. Sekali lagi tahniah,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu lagi.

Semalam, BN menerusi gabungan Umno-Pas merampas kerusi N. 24 Semenyih selepas menang dengan majoriti 1,914 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Calon BN, Zakaria Hanafi meraih sebanyak 19,780 undi manakala calon PH, Muhammad Aiman Zainali memperoleh hanya 17,866 undi.

Dua calon lagi iaitu dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul mendapat 847 undi manakala calon Bebas, Kuan Chee Heng atau popular dengan panggilan Uncle Kentang meraih 725 undi.

Rekod BN di Dun Semenyih itu merupakan kemenangan kedua berturut-turut dalam PRK selepas memenangi PRK Cameron Highlands, 26 Januari lalu.