Malaysia Dateline

Proses hak milik tanah SK Jalan Haji Baki dijangka selesai Ogos 2020

Proses pemutihan tanah hak milik Kerajaan Negeri Sarawak bagi diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberi laluan pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Haji Baki di Kuching dijangka selesai Ogos tahun hadapan.

Pengerusi DAP Cawangan Batu Kitang, Abdul Aziz Isa memberitahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) kini dalam proses pemutihan tanah berkenaan daripada milik Kerajaan Negeri Sarawak kepada hak milik Kerajaan Persekutuan.

“Apabila proses pemutihan tanah itu selesai nanti, Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) melalui KPM dapat meneruskan Projek Gantian Penuh Sekolah bernilai RM24 juta.

“Projek Gantian Penuh Sekolah itu nanti akan mengubah landskap pendidikan di Kampung Haji Baki apabila bangunan baru sekolah tersebut bakal dibina setinggi tiga tingkat dan mampu menampung lebih ramai pelajar yang kini kian bertambah,” katanya ketika ditemui mewakili Timbalan Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Chong Chieng Jen bagi merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil di SK Jalan Haji Baki di Kuching.

Abdul Aziz menyampaikan hadiah kepada salah seorang murid terbaik pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil di SK Jalan Haji Baki Kuching.

Abdul Aziz menambah setakat ini, proses pemutihan tanah terbabit telah tergendala sejak beberapa tahun lalu disebabkan terdapat tuntutan dibuat oleh seorang adik pemimpin berpengaruh dari kalangan Gabungan Parti Sarawak GPS).

Tegasnya, individu tersebut bukan sahaja cuba menuntut tanah sekolah malah cuba untuk merencatkan pembangunan kampung dengan menuntut tanah wakaf masjid, tanah kubur dan beberapa lagi lot tanah milik penduduk.

Justeru beliau menyeru kepada penduduk kampung agar menentang sekeras-kerasnya individu berkenaan daripada terus bersikap tamak dan mengenepikan keperluan orang lain.

“Ini kerana jika individu tersebut berterusan menuntut lot tanah sekolah berkenaan, ia akan membantutkan hak anak-anak Kampung Haji Baki untuk belajar dalam suasana yang selesa.

Abdul Aziz menambah, jangan kerana sikap tamak individu tersebut maka masa depan anak-anak dipertaruhkan.

“Pendidikan merupakan salah satu cara untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dan kejahilan. Melalui pendidikan, kita mampu mengangkat martabat bangsa dan memimpin sesebuah negara.

“Di kala bangsa lain berlumba-lumba mencari ilmu, janganlah bangsa kita pula berpecah belah hanya kerana tuntutan tanah. Jika individu tersebut berjaya merampas tanah sekolah, ke mana anak-anak kampung hendak bersekolah? Justeru, penduduk kampung harus meletakkan kepentingan pendidikan anak-anak lebih utama berbanding kepentingan politik individu tersebut,” katanya lagi.

Pada majlis sama, Abdul Aziz mengucapkan syabas dan tahniah kepada SK Jalan Haji Baki kerana telah memenangi anugerah Sekolah Terbaik (Dalam Bidang Sukan) Kategori Sekolah Rendah (Bandar) 2019 pada Majlis Makan Malam Aspirasi dan Anugerah UPPK PPD Padawan baru-baru ini.

Anugerah tersebut adalah hasil daripada usaha dan kejayaan murid Tahun 6 iaitu Agnes Joanna Anak Liam yang mewakili Sarawak dan Malaysia pada kejohanan karate-do di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Abdul Aziz turut mengumumkan Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Stampin telah memperuntukkan dana sejumlah RM13,000 dan projek kecil sepanjang tahun 2019.

Beliau memberi jaminan bahawa SK Jalan Haji Baki akan menerima lebih banyak bantuan kerajaan melalui Peruntukkan Dana Khas Ahli Parlimen Stampin pada tahun 2020.

Turut hadir pada majlis itu ialah Guru Besar SK Jalan Haji Baki Mohd Aliff Najmi Abdullah, Naib YDP PIBG SK Jalan Haji Baki Ibrahim Ahmad, Pengerusi Masjid Darul Ehsan Kamal Sastra Sengut, Pengerusi KRT Hatta Haji Azim, guru-guru dan ibubapa.