Malaysia Dateline

1MDB Bank Negara

Proses keadilan dalam skandal 1MDB mesti diteruskan, kata PH

Pemulangan RM16.6 bilion (USD3.9 bilion) oleh Goldman Sachs kepada kerajaan Malaysia bermula selepas kemenangan Pakatan Harapan dan kekalahan BN pada PRU14 lalu.

Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata, pemulangan itu sekali gus menjadi bukti wujudnya pelbagai salah laku dan kebobrokan pada zaman BN.

Katanya, penyelesaian antara kerajaan Malaysia dengan Goldman Sachs yang berkait salah laku dan penyelewengan kes 1MDB menjadikan keseluruhan wang rakyat yang telah dipulangkan setakat ini berjumlah RM19 bilion.

“Walaubagaimanapun proses keadilan dalam isu 1MDB masih belum selesai dan mesti diteruskan hingga ke penghujungnya,” katanya.

Dalam kenyataan bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng mengingatkan bahawa kerajaan PH tidak bersetuju dengan tawaran Goldman Sachs sebelum ini hanya memulangkan USD1.75 bilion kerana jumlah penuh yang dituntut adalah USD7.5 bilion.

Katanya, hasil ini merupakan usaha semua termasuk Peguam Negara ketika itu yang telah memulakan proses perundangan demi mendapatkan keadilan buat rakyat malaysia.

Pakatan Harapan menegaskan bahawa semua watak utama di dalam kes ‘scam’ 1MDB mesti diadili di mahkamah termasuk individu yang dinamakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) sebagai ‘MO1’ dan Low Taek Jho (Jho Low) yang sehingga kini belum ditahan.

“Mereka tidak boleh dibenarkan bebas begitu sahaja,” katanya.