Malaysia Dateline

Proses kerakyatan anak luar nikah tidak berlaku secara automatik, kata Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, status warganegara Malaysia yang diberikan kepada anak luar nikah, sebenarnya tidak berlaku secara automatik.

Sebaliknya beliau berkata, proses memberi kerakyatan itu tidak mudah dan semuanya berdasarkan kepada perlembagaan, peraturan dan akta sedia ada.

“Kalau mereka itu anak luar nikah, dan memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki undang-undang, itu tidak menjadi masalah.

“Memberi kerakyatan kepada anak luar nikah ini tidak akan berlaku secara automatik. Ada prosedur tertentu yang perlu kita lihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan netizen bahawa Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan memberi kerakyatan mudah kepada lebih ramai anak luar nikah menjadi warganegara, kerana status asal ibu atau bapa mereka adalah warganegara.

Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan itu adalah berhubung taraf kewarganegaraan bagi mereka yang berusia bawah 21 tahun dan ia dikhaskan untuk anak yang lahir sebelum perkahwinan ibu bapa mereka disahkan, anak yang lahir di luar ikatan perkahwinan, anak angkat atau atas sebab perintah mahkamah.

Terdahulu, Muhyiddin menghadiri Program Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Jabatan Imigresen Malaysia, di Putrajaya, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud.

Dalam perkembangan lain, Indera Khairul  berkata kepada Malaysia Dateline, setakat semalam pihaknya telah berjaya menangkap seramai 25,015 pendatang asing tanpa izin (PATI) melibatkan 8,481 operasi di seluruh negara.

“Selain itu, dalam operasi yang telah dijalankan bermula 1 Januari lalu itu, seramai 686 majikan juga telah berjaya kami tangkap dan seramai 105,665 warga asing telah diperiksa.

“Untuk rekod, pada tahun lepas kita telah menangkap seramai 48,372 PATI melibatkan semua operasi yang dijalankan,” katanya.