Malaysia Dateline

Proses kiraan undi sedang berlangsung

Proses pengiraan undi secara lintas langsung menerusi Facebook Live (FB Live) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRK Parlimen Tanjung Piai sedang berlangsung.

Kali pertama lintas langsung proses pengiraan undi diadakan pada PRK Cameron Highlands, 26 Januari lalu.

Proses mengundi bagi PRK Parlimen Tanjung Piai bermula jam 8 pagi tadi di 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pekan Nanas dan Kukup.

Petugas SPR memulakan proses kiraan kertas undi sambil disaksikan wakil setiap calon yang bertanding sejurus pusat pengundian ditutup.

Kesemua peti undi yang selesai dikira akan dibawa dan dikumpulkan di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Jubli Intan, Pontian, lokasi sama pengumuman keputusan PRK.

Jam 8 pagi tadi, calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini hadir mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kerang.

Sementara itu, calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming 1, Pekan Nanas.

Sebanyak 27 pusat mengundi dan 125 saluran dibuka untuk proses pengundian bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

Setakat pukul 4 petang tadi, peratusan keseluruhan keluar mengundi adalah 70 peratus.

Orang ramai berpeluang melihat sendiri perjalanan sepanjang proses pengundian dan kiraan undi itu menerusi FB Live SPR menerusi:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=565508527530650&id=250560308843242