Malaysia Dateline

‘Proses meroboh surau di Kelantan agak kasar, sudah setaraf robohkan kedai’

Timbalan Pengarah Biro Syariah AMANAH Kelantan, Dr Sha’rani Naim membangkitkan semula isu perobohan surau yang terletak di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, yang baginya menyebabkan ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat di negeri itu.

Surau berkenaan merupakan peninggalan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang dibina atas sumbangan orang ramai secara gotong royong antara kakitangan kerajaan, swasta dan orang perseorangan bagi mendirikan surau yang penuh dengan seni bina yang begitu klasik.

Dr Sha’rani berkata, sememangnya ada enakmen untuk merobohkan institusi tempat umat Islam beribadat, namun apa yang mencetuskan ketidakpuasan hati apabila kaedah merobohkan surau tersebut dilihat agak kasar.

Beliau menyifatkan tindakan meruntuhkan rumah Allah itu seolah-olah sama taraf dengan proses perobohan sebuah kedai biasa.

“Menjadi keresahan netizen atau masyarakat ialah tentang bagaimana masjid itu dirobohkan. Kita maklum masjid rumah Allah, tempat sujud hamba Allah. Memang ada tatacara untuk roboh.

“Tapi proses meroboh guna jentolak begitu rupa kita rasa ada cetusan di hati bahawa agak kasar menangani rumah Allah. Ini seolah meruntuhkan kedai yang tidak digunakan lagi. Itulah tarafnya.

“Kita kena lebih beretika dengan masjid rumah Allah. Cara lebih baik adalah dengan memindahkan surau berkenaan dalam suasana asal itu, lebih baik.

“Apakah tidak boleh lakukan dengan tatacara lain, dengan cara terbaik untuk runtuhkan masjid Allah?,” soalnya dalam satu bual bicara isu semasa di Kelantan di Facebook AMANAH Negeri Kelantan malam ini.

Pada 30 Ogos lalu, Malaysia Dateline melaporkan bahawa surau yang terletak di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa telah dirobohkan.

Pemuda AMANAH Kelantan mendakwa kerajaan negeri cuba melenyapkan peninggalan Almarhum Tok Guru Nik Aziz dengan merobohkan surau tersebut.

Bagaimanapun Adun Cempaka, Ahmad Fathan Mahmood yang menggantikan kerusi peninggalan Almarhum Nik Aziz, mempertahankan tindakan meroboh surau yang diusahakan bekas Menteri Besar Kelantan itu.

Menurutnya, surau baharu akan dibina dengan memastikan keadaan lebih kondusif sejajar pelan menaik taraf kawasan itu.

Katanya kerja-kerja merobohkan mengikut prosedur dan kontraktor yang bertanggungjawab sudah sedia maklum mengenai cara kerjanya selain yakin ia turut mendapat panduan daripada pihak mufti.