Malaysia Dateline

Proses pemulihan Sungai Selangor capai tahap lebih 60 peratus

Gangguan bekalan air disebabkan pencemaran sumber air mentah yang dikesan di Sungai Selangor, dijangka pulih sepenuhnya menjelang tengah malam ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehingga jam 6 pagi tadi, proses pemulihan sudah mencapai tahap lebih 60 peratus.

Sekiranya trend tersebut bertambah baik, Amirudin menjangkakan lebih 90 peratus kawasan akan menikmati semula bekalan air menjelang malam ini atau tengah malam nanti.

“Esok 100 peratus penduduk akan menerima bekalan sepenuhnya.

“Pihak pengurusan Air Selangor akan memastikan sebaik mungkin agar proses penyaluran dapat dilakukan agar bekalan air dapat disalurkan ke rumah masing-masing,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan SUK Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri telah merekodkan kosong kes pencemaran air sepanjang tempoh April sehingga September tahun ini.

Bagaimanapun, dalam tempoh September sehingga Oktober, kerajaan mencatatkan tiga kes pencemaran sungai membabitkan kejadian yang berulang dari tahun lepas.

Katanya, pada tahun 2019 sahaja, kerajaan negeri berhadapan dengan tujuh kali pencemaran air sehingga menyebabkan urusan Loji Rawatan Air terhenti dan bekalan terganggu.

Justeru beliau berkata, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan pemantauan terhadap sungai dan lembangan yang kritikal di selangor iaitu sungai Langat dan sungai Selangor dengan penggunaan Dron berteknologi tinggi.

Tambah Amirudin lagi, penggunaan Dron akan digunakan bermula November ini untuk memantau secara keseluruhan premis-premis berhampiran sungai yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran.

Selain itu, Amirudin berkata, sejak Februari lalu, proses kawalan 24 jam terhadap dua lembangan sungai tersebut telah dilakukan, namun kawalan dan pemantauan 24 jam memerlukan pertambahan anggota.

Justeru katanya, kerajaan negeri telah mengarahkan dua jabatan iaitu Air selangor dan unitnya serta Pasukan Pantas LUAS untuk menambah pegawai dan pegawai kontrak mereka bagi melaksanakan pemantauan 24 jam terhadap sungai kritikal.