Proses pengambilalihan lebuh raya ambil masa, kajian menyeluruh, kata Mohamed Azmin

Proses pengambilalihan lebuh raya ambil masa, kajian menyeluruh, kata Mohamed Azmin

Proses pengambilalihan konsesi lebuh raya oleh kerajaan mengambil masa yang agak lama selain perlu diimbangi dengan perancangan pembangunan ekonomi supaya tidak memberikan implikasi kewangan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata isu tol lebuh raya merupakan janji manifesto yang perlu ditunaikan kerajaan tetapi perlu diperhalusi kesannya supaya negara dapat meneruskan agenda pembangunan yang lain.

“Kita memperhalusi kesan pengambilalihan tol. Nak ambil alih syarikat konsesi perlu kajian menyeluruh. Saya ada pengalaman di Selangor (sebagai menteri besar) ketika ambil alih syarikat konsesi air..itu juga ambil masa yang lama

“Tetapi perancangan itu harus bermula (awal) dan ini kita dah lakukan… dan bila semua pihak berkepentingan memuktamadkan penyelesaian, kita akan umumkan. Cuma kita kita perlukan masa, perlu buat kajian terutama kesannya kepada kewangan negara,” kepada pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai bersama Penduduk Kampung Pasir Baru, Hulu Semenyih pada Ahad.

Pada Sabtu Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan kerajaan telahpun memulakan rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti.

Menurut kenyataan tersebut, kerajaan berhasrat untuk memansuhkan mekanisme tol sedia ada apabila berjaya mengambil alih lebuh raya berkenaan.

Berdasarkan kenyataan itu, ‘congestion charge’ atau caj kesesakan akan diperkenalkan di mana pengguna akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

Semasa tempoh ‘off-peak’ (luar waktu puncak) antara 11 malam dan 5 pagi, penggunaan lebuh raya adalah percuma. Bagi penggunaan waktu biasa, pengguna akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata adalah tidak benar pengumuman berkenaan tol itu bertujuan memancing undi untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih yang sedang berlangsung ketika ini, kerana perkara tersebut mula dibincangkan lebih lapan bulan lalu.

“ Tidak benar…kita dah bincangkan kandungan manifesto ini seawal kita membentuk kerajaan dan kita ada perancangan tertentu termasuk soal tol.

” Kita pun ada senarai yang perlu dilakukan mengikut jadual dan kesesuaian masa bagi menentukan apa yang kita janjikan dalam manifesto dapat dilaksanakan. Biarlah semua pihak selesai menjalankan kajian (untuk melaksanakan manifesto), apa yang kita janjikan dalam manifesto mesti ditunaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menolak dakwaan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain tidak membantu dalam kempen calon PH bagi PRK Dun Semenyih Muhammad Aiman Zainali, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

“Ini propaganda pembangkang. Saya sendiri sudah beberapa malam ada di sini kecuali tiga hari lalu saya di luar negara tetapi pimpinan lain seperti (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, (Presiden PH) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, (Setiausaha Agung PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta pimpinan tertinggi lain sudah berada di sini untuk bantu berkempen. Sudah pasti kita ada jadual tertentu dan kawasan tumpuan,” katanya.

Hari pengundian PRK Semenyih ditetapkan pada 2 Mac. Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya Bahtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional); Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.- BERNAMA