Malaysia Dateline

Proses pengundian PRK Semenyih bermula

Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Semenyih bermula 8 pagi ini dan dijangka berakhir 5.30 petang.

Sebanyak 24 pusat mengundi membabitkan 116 saluran dibuka bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu.

Aiman mengundi di saluran lima, beliau ditemani isterinya

Sejumlah 53,411 pengundi biasa layak berbuat demikian dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili Pakatan Harapan (PH), pada 11 Jan lepas.

Aiman menyantuni pengundi OKU ketika membuang undi di SMK Ungku Husain pagi ini

PRK Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Muhammad Aiman Zainali daripada PH, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional (BN)), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia (PSM)) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali, 30, menunaikan tanggungjawab membuang undi pada jam 8.20 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Husain, Kampung Baru Semenyih.

Manakala Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul mengundi di Dewan Orang Ramai Semenyih.

Calon BN Zakaria Hanafi pula mengundi di JKKK Kampung Sesapan Kelubi

DUN Semenyih mempunyai 53,520 pemilih biasa namun 109 telah mengundi secara pos, menjadikan jumlah yang layak mengundi hari ini ialah 53,411 orang. Pengundian awal bagi PRK itu diadakan Selasa lepas.

Sebanyak 996 kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertugas di pusat-pusat mengundi berkenaan.