Malaysia Dateline

Proses pengundian PRK Tg Piai terkawal dan dijangka berterusan

Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai ketika ini berada dalam keadaan terkawal serta tenang dan dijangkakan berterusan sehingga pusat pengundian ditutup 5.30 petang ini, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata hasil tinjauannya sendiri selain maklumat daripada Polis Diraja Malaysia mendapati, tiada insiden tidak diingini berlaku kecuali provokasi kecil yang disifatkan biasa pada mana-mana pilihan raya umum (PRU) mahu pun PRK.

“Setakat ini ok, tiada perkara yang luar biasa kecuali satu dua provokasi di beberapa tempat tapi keadaan reda. Biasalah semangat tinggi di kalangan parti bertanding. Ia perkara biasa dalam pilihan raya.

“Malah ahli Pakatan Harapan (PH) juga telah diingatkan supaya tidak melakukan provokasi. Kepada pengundi, jangan takut untuk keluar mengundi, keadaan aman, tenang dan terkawal,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sebelum ini melakukan tinjauan di pusat tumpuan mengundi di sekitar Tanjung Piai sejak awal pagi tadi.

Mengulas mengenai peratusan keluar mengundi yang kini mencecah 50 peratus sehingga 1 tengah hari seperti dilaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Muhyiddin percaya angka tersebut akan meningkat sekurang-kurangnya mencecah 70 peratus.

“Saya berpuas hati ketika ini. Saya harap dan percaya, ia akan meningkat 70 peratus. Ada lima jam lagi. Biasanya lepas Zuhur ke Asar akan ramai keluar lagi. Ada gelombangnya.

“Kalau peratusan rendah, susah nak buat tafsiran jumlah (sokongan) yang diterima calon-calon bertanding…sedikit sebanyak ada bawa kesan pada PRK,” katanya.

Sebanyak 27 pusat mengundi membabitkan 125 saluran dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang ini.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon PH Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz mewakili Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Wendy Subramaniam daripada Gerakan serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

— BERNAMA