Proses penyatuan hati Pemuda AMANAH bermula, kata Hasnul

Proses penyatuan hati Pemuda AMANAH bermula, kata Hasnul

Ketua Pemuda AMANAH Nasional yang baharu, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim hari ini yakin sayap parti berteraskan gagasan Rahmatan Lil Alamin itu matang dalam menerima keputusan pemilihan yang julung kali diadakan.

Menurut Naib Pengerusi AMANAH Negeri Perak itu, kewujudan tiga pasukan Pemuda AMANAH iaitu Pemuda Bangkit, Bekerja, dan Wibawa menjelang pemilihan sebelum ini hanya merupakan sesi pengenalan calon untuk dinilai.

“Sudah pasti sepertimana kita dalam pasukan Pemuda Bekerja pada awal dahulu, kita memperkenalkan barisan calon-calon dan juga gagasan yang kita nak bawa untuk dinilai oleh perwakilan Pemuda.

“Alhamdulillah. Hari ini, pemilihan telah dilakukan dan sudah tentulah ini merupakan permulaan proses penyatuan hati kepada pasukan yang ada.

“Saya kira Pemuda AMANAH Nasional matang dalam menerima keputusan pemilihan pada tahun ini,” ujarnya yang mengetuai pasukan Pemuda Bekerja.

Hasnul Zulkarnain

Untuk rekod, Pemuda Bangkit diketuai Abbas Azmi yang merupakan bekas Ketua Pemuda AMANAH Selangor manakala Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Selayang, Wan Anwar Wan Ibrahim pula mengetuai pasukan Pemuda Wibawa.

Dalam keputusan pemilihan hari ini, Abbas berada di kedudukan kelapan tertinggi dengan memperoleh 212 undi.

Walau bagaimanapun, Wan Anwar tersingkir daripada senarai 27 Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Pemuda AMANAH Nasional sesi 2019-2022.

Sehubungan itu, Hasnul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong memberitahu bakal menemui anggota Pemuda di peringkat akar umbi bagi tujuan mengeratkan muafakat ahli.

“Sudah tentu saya akan berusaha turun ke bawah pula bertemu dengan para Pemuda untuk menyatukan hati mereka dalam tempoh terdekat ini,” ujarnya lagi.