Prosiding kes rayuan qazaf Anwar disambung 5 Jun

Prosiding kes rayuan qazaf Anwar disambung 5 Jun

Peguam Fadhlina Sidek yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu hari ini merupakan prosiding sebutan pertama untuk kes rayuan qazaf pemimpin PKR itu.

Ditemui pemberita di Mahkamah Syariah Shah Alam, beliau memberitahu tarikh prosiding berikutnya bagi bekas ketua pembangkang itu disambung pada 5 Jun depan.

“Hari ini untuk mahkamah meneliti semula mengapa Mahkamah Tinggi (Syariah) sebelum ini menolak permohonan Anwar untuk memulakan prosiding qazaf.

“Kita berharap mahkamah mempertimbangkan. Kita sangat optimis sebab mahkamah syariah sebenarnya mempunyai bidang kuasa yang sangat luas untuk membuat keputusan,” jelasnya.

Pada 27 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menolak permohonan Anwar untuk memulakan prosiding qazaf terhadap peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa memfitnah beliau berhubung kes liwatnya.

Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar memutuskan sedemikian selepas mendapati mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut memandangkan perbuatan liwat tidak termasuk dalam kesalahan qazaf.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, mahkamah syariah bahkan boleh keluar daripada kerangka sedia ada untuk membetulkan kembali keputusan.

“Penting untuk menjelaskan definisi qazaf itu supaya kita dapat kenal pasti qazaf ini di bawah (bidang kuasa) mana. Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Syariah. Kita mahu mahkamah syariah progresif,” tambahnya lagi.

Anwar pada pertengahan tahun 2015 memfailkan aduan qazaf di bahagian penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melalui isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Muhammad Shafee menuduh Anwar melakukan liwat dengan bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh (Anwar) seperti yang diwajibkan oleh undang-undang.

Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut hadir bersama keluarganya dan barisan peguam yang mewakili Anwar.-Foto Malaysia Dateline Wan Zahari Wan Salleh.

 

TAGS