Malaysia Dateline

Prosiding komital Teresa Kok terhadap Azwanddin pada 18 Feb

Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 18 Feb bagi mendengar permohonan prosiding komital difailkan Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim terhadap Datuk Azwanddin Hamzah kerana melanggar terma penghakiman persetujuan dalam kes saman fitnah menteri berkenaan yang telah diselesaikan secara baik, tahun lepas.

Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) itu didakwa gagal mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga akhbar serta membayar kos kepada menteri itu dalam tempoh 45 hari bermula daripada tarikh penyelesaian kes pada 29 Julai, 2019.

Kes saman itu adalah berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkan menteri berkenaan dalam insiden kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya.

Peguam S. N. Nair mewakili Kok memberitahu pemberita, tarikh baharu itu ditetapkan Pesuruhjaya Kehakiman Datin Rohani Ismail yang sepatutnya mendengar permohonan berkenaan hari ini.

“Namun, Azwanddin tidak hadir pada prosiding itu dan difahamkan beliau mempunyai kes di Mahkamah Ampang,” katanya.

Azwanddin, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan membuat ucapan yang mungkin menyebabkan ketakutan kepada orang ramai berhubung ‘Peristiwa 13 Mei 1969’ dua tahun lepas.

Kok, selaku plaintif memfailkan permohonan itu pada 8 Okt tahun lepas berikutan Azwanddin selaku defendan tidak melaksanakan terma penghakiman persetujuan kes itu iaitu perlu mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga akhbar iaitu Sinar Harian, The Star dan Sin Chew Daily serta membayar kos.

Azwanddin bersetuju untuk mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga akhbar berkenaan, membayar kos serta menarik balik ucapan yang telah diterbitkan semula olehnya di media sosial selepas kes itu diselesaikan secara baik pada 29 Julai tahun lepas.

Kok selaku plaintif memfailkan saman itu pada 8 Jan tahun lepas dengan mendakwa Azwanddin sebagai presiden JMM telah menyampaikan ucapan yang antara lain mengandungi perkataan-perkataan berunsur fitnah secara lisan, fitnah bertulis dan pembohongan dalam satu perhimpunan yang diadakan di Dataran Seni Klang, Selangor pada 25 Dis, 2018.

Menteri itu mendakwa ucapan itu diterbitkan dengan tujuan menghasut orang awam, memburuk-burukkan plaintif dan disampaikan secara tidak bertanggungjawab kepada orang ramai serta secara khusus dibuat bagi mendapat sensasi murahan untuk mencetuskan kekacauan dan kemungkinan membawa bahaya secara fizikal dan kemudaratan lain kepada plaintif.

— BERNAMA