Protes berdarah Indonesia dan naratif media Malaysia

Protes berdarah Indonesia dan naratif media Malaysia

Keputusan pilpres Indonesia yang diumumkan pada 21 Mei lalu mengundang kemarahan separuh warganya. Lantaran kematian ‘misteri’ lebih 700 petugas mengira undi (KPPS), pemilu kali ini dilihat sangat tidak bersih dan mempunyai motif tersembunyi.

Petugas-petugas tersebut mati bukan kerana tindakan rusuhan, tetapi didakwa akibat ‘keletihan melampau’ kerana terlalu banyak mengira kertas undi. Lebih 3,000 petugas dimasukkan ke hospital setakat 10 Mei lalu.

Memberi gambaran bahawa proses pemilu Indonesia pada kali ini dipalit skandal dan ‘kecurangan’, warganya khuatir jika suara mereka tidak didengari.

Makanya, warga Indonesia mula membanjiri pusat pengiraan undi (bawaslu) di Jakarta sambil menunggu pengumuman. Namun, setelah keputusan tidak rasmi diumumkan, pertempuran terjadi. Setakat petang Rabu, 22 Mei lalu, enam orang disahkan terkorban.

Sejak 20 Mei, pihak berkuasa Indonesia mula menggerakkan jentera mereka setelah mendapati peningkatan mendadak kemasukan warga ke pusat bandar Jakarta.

Namun setelah keputusan diumumkan, pertempuran antara orang awam dan polis terjadi di pusat pengiraan undi.

Protes seterusnya merebak ke sekitar daerah Tanah Abang dan Pertamburan, Jakarta. Di Pertamburan juga dapat disaksikan bangunan awam turut dibakar seterusnya mengorbankan nyawa yang pertama pada malam 21 Mei.

Berikutan tular di media sosial, pemerintah bertindak menyekat Twitter, Facebook dan WhatsApp.

Pertempuran orang awam dengan polis melarat hingga ke hari seterusnya dengan korban meningkat kepada enam orang.

Sejak awal kempen, suasana politik Indonesia dicalit dengan ketidakpuasan hati warganya terhadap pemerintahan Jokowi. Rentetan beberapa peristiwa yang didapati menyentuh sensitiviti rakyat Indonesia termasuk menghina al-Quran. Pemerintahan Jokowi didapati gagal menyakinkan populasi Muslim terbesar dunia itu.

Hal inilah yang dieksploitasi oleh Malaysiakini dalam artikel siaran Facebook mereka pada 22 Mei. (Link https://www.facebook.com/31373189944/posts/10151737617684945/)

Memetik ulasan seorang penganalisis politik, Prof Dr Mohammad Agus Yusoff, ada tiga isu yang dimainkan pihak yang berkenaan di Indonesia dalam pemilihan presiden negara itu.

“Di Indonesia sekarang, rakyat dirasuk bukan kerana Jokowi rasuah, tapi tiga perkara: agama terancam dan ulamak dizalimi, kaum Cina menguasai negara, dan KPU curang,”.

Skop sempit paparan Malaysiakini masih belum penat menyebarkan propaganda mereka sejak mengeksploitasi naratif peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Bagi mereka, sistem demokrasi hanya akan dirosakkan dengan rasuah sahaja. Manakala, menghina dan menafikan pilihan agama majoriti, dan menentukan hala tuju negara mengikut acuan tempatan adalah penyebab kepada kekacauan. Kemudian tanpa segan silu mengait dan mengeksploitasi naratif tersebut terhadap suasana politik Malaysia. Jelas, Malaysiakini berniat jahat.

Tidak kurang mereka cuba berbohong berkenaan dengan ‘kaum Cina menguasai Indonesia’.
Apa yang sebenarnya dikhuatiri warga Indonesia adalah keakraban Indonesia dengan negara China hingga menimbulkan kerisauan warganya apabila mendapati peningkatan kemasukan warga China ke Indonesia.

Kebanjiran itu pula dipalit dengan insiden-insiden kurang menyenangkan di media sosial sejak 3 tahun kebelakangan ini. Insiden tersebut termasuk pertikaian kemasukan ke kawasan tertentu yang dikuasai ahli perniagaan dari China hingga menimbulkan keresahan warga Indonesia.

Bukan bangsa Cina tempatan yang telah berasimilasi, tetapi ahli perniagaan dari Tanah Besar China yang dikhuatiri warganya!

Tidakkah kewartawanan Malaysiakini sepatutnya lebih jelas akan hal ini? Tidakkah kematian lebih 700 petugas pemilu itu membangkitkan kecurigaan terhadap sistem pilihanraya Indonesia?

Sememang mereka berniat jahat apabila cuba memutarbelitkan naratif demi kepentingan propaganda mereka. Perbuatan ini sangat jijik.

Sungguhpun begitu, kami dari kumpulan Palestin Inggeris terus menerus mengemaskini laporan di Twitter berkaitan dengan tragedi pilpres Indonesia 2019.

* Penulis merupakan aktivis Group Palestine English (TWITTER @MHBASjam)

Ikuti perkembangan terbaru Palestin melalui twitter di @GroupPs_English atau carian hashtag #GroupPalestine untuk info dalam bahasa Inggeris dan #قروب_فلسطيني untuk info dalam bahasa Arab. Melalui penulisan dan kewartawanan, Group Palestine menyedia dan menyebarkan berita terkini dari Palestin ke seluruh dunia dalam pelbagai bahasa.