Gerakan protes mampu turunkan kerajaan korup

Gerakan protes berterusan tidak hanya berupaya membatalkan kenaikan kadar tol bahkan jauh lebih mampu menurunkan sesebuah kerajaan yang korup dan menyusahkan rakyat, tegas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak #ShutdownSungaiBesi, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak #ShutdownSungaiBesi, Shazni Munir Mohd Ithnin.

 Gerakan protes berterusan tidak hanya berupaya membatalkan kenaikan kadar tol bahkan jauh lebih mampu menurunkan sesebuah kerajaan yang korup dan menyusahkan rakyat, tegas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak #ShutdownSungaiBesi, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Menurutnya, protes #ShutdownSungaiBesi menjelang tahun baharu ini merupakan satu cara praktikal untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan yang meluluskan kenaikan kadar tol di Lembah Klang bagi lapan konsesi terbabit antara 20 sen dan RM3.

“Jika ada pihak mendakwa protes tidak berhasil sebab tol tetap naik, jelas mereka salah kerana menganggap demonstrasi tidak penting.

“Keadaan semasa memaksa gerakan sosial beralih daripada menjadikan demonstrasi sebagai kemuncak gerakan, kepada pemula atau pencetus kepada satu-satu tuntutan,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas lanjut penukaran lokasi protes daripada Plaza Tol Plus Jalan Duta ke Plaza Tol Plus Sungai Besi, beliau berkata, keputusan tersebut hasil mesyuarat bersama anggota jawatankuasa yang terdiri daripada kumpulan NGO, wakil kelab bermotor, pegawai perubatan dan aktivis masyarakat.

“Keputusan ini diambil berikutan respon keras yang diberikan pihak polis disamping persediaan pihak penganjur memandangkan lokasi baru ini lebih dekat dengan jalan keluar jika berlaku hal-hal yang tidak diingini seperti kecemasan sewaktu berlangsungnya protes.

“Bagi pengguna trafik yang tidak mahu terlibat dengan protes, pihak jawatankuasa menasihatkan untuk menjauhi laluan masuk Plaza Tol PLUS Sungai Besi bagi mengelakkan ketidakselesaan trafik,” ujar Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, pihak jawatankuasa juga kekal dengan konsep ‘himpunan aman’ dalam memastikan protes kali ini benar-benar menjadi pentas perjuangan rakyat yang tidak bersetuju dengan kenaikan kadar tol yang bakal direalisasikan kerajaan Barisan Nasional pada tahun baharu ini.

“Kenaikan kadar di lapan tol bukan sesuatu yang boleh lagi dikompromi rakyat yang telah sedia susah. Lebih memedihkan apabila sebelum ini pernah viral perbualan antara pengguna lebuhraya bertol dengan pekerja tol bahawa menteri di Malaysia tidak pernah berhenti untuk membayar tol!

“Ini sesuatu yang amat menjengkelkan dan sangat tidak adil bagi rakyat yang bertarung menempuh hidup yang sukar hari demi hari,” jelasnya.

Sehubungan itu, Shazni menyeru supaya rakyat bangkit membantah kenaikan kadar tol yang membawa kepada kesan rantaian ke atas kos barangan dan perkhidmatan lain.

“Usah benarkan kesan domino akibat kenaikan tol ini menambah lagi keperitan hidup yang telah pedih dan sakit. Bangun dan bangkitlah. Hantar mesej jelas kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional, kamu batalkan kenaikan dan turunkan tol atau kamu akan diturunkan,” tegasnya lagi.

Lapan syarikat konsesi lebuh raya di Lembah Klang terbabit dengan kenaikan caj berkuatkuasa 15 Oktober lalu ialah Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke).

Turut mengumumkan kenaikan kadar tol ialah Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (Smart), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Kali terakhir kadar tol dinaikkan ialah pada 1 Mac 2009 melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), BESRAYA dan NPE manakala tiada kenaikan oleh syarikat konsesi tol lain sejak 2008.

TAGS