Proton dan masa hadapan

Proton dan masa hadapan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Beberapa hari ini, isu  Proton (Perusahaan Automobil Nasional Berhad)  menarik perhatian rakyat Malaysia dan menjadi topik perbincangan hangat di dunia siber. Kecaman terhadap Kerajaan terlalu emosional tanpa merujuk kepada kenyataan rasmi Kerajaan.

Kecaman ini berlandaskan dakwaan kononnya Kerajaan tidak akan membantu Proton dan syarikat kereta nasional ini akan dibiarkan berkubur.

Ramai berpendapat tidak mungkin Kerajaan akan bertindak tanpa menimbangkan dengan serius nasib 12,000 kakitangan Proton dan kira-kira 47,000 pekerja dari lebih 350 syarikat pembekal alat ganti dan komponen dan lain-lain dalam ekosistem itu.

Ini kerana jika Kerajaan tidak membantu Proton, tentu sekali ribuan kakitangan Proton akan hilang mata pencarian, manakala pembekal dan lain-lain pihak akan kehilangan sumber perniagaan.

Benarkah Kerajaan berhasrat untuk melupakan Proton? Dilihat daripada kenyataan Menteri Miti minggu lepas dan kenyataan susulan dari Miti kelmarin, kerisauan ini tidak berasas.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Datuk Seri Mustapa Mohamad dengan jelas menyatakan kesediaan Kerajaan mempertimbangkan bantuan yang dikehendaki Proton sekiranya Proton bersedia menerima dan melaksana langkah-langkah yang disarankan Kerajaan.

Menteri dipetik berkata, “Saya ingin memberi jaminan kepada pekerja Proton, vendor dan ekosistem Proton, yang kepentingan mereka akan diambil kira sebelum kita membuat sebarang keputusan mengenai permintaan untuk bantuan (kepada Proton)”.

Di dalam kenyataan kelmarin pula, Miti sekali lagi menegaskan pendirian Kerajaan terhadap Proton. Kenyataan Miti dipetik,

“Walaupun status Proton sebagai sebuah syarikat swasta, kerajaan tidak boleh melepaskan tanggungjawabnya dalam memastikan daya tahan Proton dan ekosistemnya”.

Sebelum ini pun Kerajaan memberi bantuan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan strategik kepada negara. Bagaimanapun, ianya perlu dibuat dengan teliti. Bantuan tersebut diberikan dengan terma dan syarat tertentu.

Kita sebagai rakyat tentu sekali tidak mahu melihat dana awam digunakan tanpa penelitian dan kajian terperinci. Kita juga tidak mahu melihat dana awam disalurkan tanpa keyakinan ia akan membawa perubahan dan kesan positif kepada penerimanya.

Apabila kereta nasional muncul di jalan raya pertama kalinya kira-kira 30 tahun dahulu, ia menjadi simbol kebanggaan dan melahirkan keyakinan bahawa Malaysia boleh melakukan apa sahaja.

Sejak itu, kita melihat anak watan mengelilingi dunia dengan kapal layar secara solo, angkasawan pertama Malaysia dilahirkan, kita melancarkan satelit ke angkasa dan banyak lagi kebanggaan negara. Sedikit sebanyak, Proton telah memainkan peranan melahirkan keyakinan dan mengukuhkan jatidiri dalam diri setiap warga Malaysia. Itu adalah legasi Proton.

Sudah tentu, kita tidak mahu melihat Proton berkubur. Pada waktu yang sama kita tidak boleh menafikan bahawa Proton yang ada pada hari ini tidak lagi berdaya saing dalam industri automotif. Buktinya ialah ‘market share’ kereta Proton semakin menguncup.

Kita harus menaruh keyakinan Kerajaan akan membantu Proton tetapi pada waktu yang sama kita perlu mendesak Proton untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa ia bersedia untuk berubah.

Kita yakin Kerajaan akan membantu Proton. Pada waktu yang sama kita risau, jika Proton tidak mengubah model perniagaannya, kerugian akan berterusan sedangkan ia menerima berbilion dana awam.

Kita tidak sesekali mahu dana awam digunakan untuk sesuatu yang tidak mendatangkan hasil. Dana awam tidak boleh digunakan untuk mengambus lubang yang sudah tidak lagi terdaya dikambus.

Kita sokong Proton, tetapi Proton perlu berubah.

*Penulis adalah Datuk  Ahmad Maslan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

 

CATEGORIES