Peminat filem komedi Senario Lagi pasti masih mengingati babak lucu yang dilakonkan oleh anggota kumpulan Senario, Wahid yang mencuri kereta Proton Wira milik Azlee.
Wahid yang memegang watak sebagai penjenayah yang pakar dalam aktiviti pencurian kereta itu begitu lekat dalam hati peminat kerana namanya kembali diungkit apabila kes kecurian Proton Wira semakin meningkat di Malaysia.
Manakan tidak, kereta nasional negara itu menduduki tempat teratas dalam senarai kereta yang paling banyak dicuri selama 11 tahun berturut-turut.
Menurut penyelaras Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC), Mas Tina Abdul Hamid, senarai tersebut dibuat berdasarkan tuntutan yang dibuat oleh syarikat insurans.
Berdasarkan senarai itu, jumlah kehilangan kereta yang berjaya mencipta fenomena di kalangan anak muda pada zaman dahulu itu dilaporkan mencecah sebanyak 131 buah pada tahun 2021 diikuti rapat oleh Proton Iswara iaitu sebanyak 75 buah.
Hal ini berikutan, kereta yang dilancarkan pada 1993 itu menjadi sasaran pencuri kerana permintaan dalam pasaran alat ganti jenis Wira sentiasa meningkat.
Selain itu, faktor bahawa kereta ini diciptakan berasaskan kereta keluaran syarikat terkenal dari Jepun, Mitshubishi Lancer turut menjadi penyumbang utama kepada insiden kecurian itu.
Ibarat peribahasa orang lain yang makan nangka, orang lain yang kena getah, peminat filem itu tidak melepaskan peluang meninggalkan komen sinikal dengan mempersalahkan Wahid atas kecurian tersebut.
“@thatsenario dah lama rancang, kita sahaja lalai,” komen pengguna bernama Sauffie.
“Kerja wahid ni,” kongsi pengguna lain.
Terdapat juga peminat yang mencadangkan syarikat pengeluar Proton Wira untuk menukarkan namanya kepada ‘Proton Mangsa’.
Kereta yang amat ‘versatail’ pada zamannya ini turut dipasarkan di United Kingdom dan Australia dengan nama Persona.
Baca juga: Dilema penjaja tepi jalan di Kampung Baru, dihimpit modal kecil tapi barang mahal