Malaysia Dateline

Provokasi pembunuhan saintis nuklear Iran

Pembunuhan saintis nuklear Iran, Mohsen Fakhrizadeh baru-baru ini dilaporkan telah dilakukan oleh agensi perisikan Israel, Mossad. Mereka mungkin menggunakan teknologi satelit. Siapa yang pernah menonton filem “Syriana” dapat membayangkan bagaimana ia dilakukan.

“Syriana” adalah filem lama, 2005. Masa itu belum berlaku Arab Spring dan Syria masih tidak musnah. Hanya Iraq dan Afghanistan yang hancur ekoran peristwa 11 September. Filem Hollywood bukanlah memberi fakta tepat mengenai geopolitik tetapi sedikit sebanyak ia memberi gambaran apa yang boleh berlaku, lebih-lebih jika ia merupakan adaptasi dari novel thriller perisikan.

Pembunuhan itu pula dilakukan ketika Amerika sedang melalui proses penggantian pemimpin. Donald Trump masih menjadi presiden tetapi akan digantikan dengan Joe Biden pada Januari depan. Walaupun Trump masih berkuasa tetapi pentadbirannya tidah boleh melaksanakan polisi-polisi besar. Pasukan hal ehwal luar Biden pula sedang disusun. Dari segi teras, tiada perbezaan besar antara polisi luar Parti Demokratik dengan Republikan. Cuma dari segi pendekatan dan retorik.

Mossad ditampilkan sebagai agensi perisikan paling cekap dan ganas di dunia. Pastinya mereka mempunyai pengintip di seluruh Iran. Iran juga mungkin mempunyai pengintip dalam Israel. Begitulah negara moden beroperasi. Semua negara yang berfungsi di dunia mempunyai agensi perisikan luar masing-masing. ia adalah sebahagian daripada birokrasi keselamatan dan pertahanan negara moden. Iran juga turut memilikinya.

Agensi-agensi perisikan negara sekutu dan sahabat bekerjasama dan bertukar maklumat di antara satu sama lain. Mossad tentunya bekerjasama dengan CIA, agensi perisikan Amerika yang juga terkenal. Tetapi sungguhpun begitu, mereka mempunyai kepentingan berlainan dan bersaing di antara sama lain. CIA juga mengintip Israel. Mossad pula mengintip Amerika.

Arab Saudi, Jordan dan Syria turut memiliki agensi perisikan. Saudi sebagai sekutu Amerika dipercayai bertukar-tukar maklumat dengan Amerika. Begitu juga Jordan. Seperti mana juga agensi perisikan Syria bertukar maklumat dengan iran. Ada tuduhan bahawa Saudi turut bersubahat dalam pembunuhan saintis Iran itu tetapi cepat dijawab secara rasmi oleh Riyadh bahawa mereka tidak terlibat.

Tetapi dipercayai bahawa Amerika menyimpan profil semua saintis nuklear di seluruh dunia termasuk Malaysia. Sebaik saja seorang siswazah fizik memasuki bidang sains nuklear, dipercayai profilnya terus dicari dan simpan. Hanya beberapa langkah saja bagi seseorang yang mampu membuat loji tenaga nuklear untuk dikembangkan menjadi bom.

Di Timur Tengah, hanya sebuah negara yang memiliki senjata nuklear iaitu Israel. Bukan satu tetapi lebih. Ujiannya pernah dilakukan di Gurun Negev di Israel. Tetapi rejim Zionis aecara rasmi tidak pernah mengaku. Namun ia merupakan rahsia umum yang dikisahkan oleh Amerika.

Untuk siapakah senjata nuklear Israel tujukan? Tentulah terhadap musuh-musuhnya di Timur Tengah iaitu Iran dan Syria. Kini Syria sudah hancur, maka tinggal Iran yang menjadi sasarannya. Tetapi senjata nuklear bukan bertujuan untuk digunakan. Ia hanya menjadi penghalang bagi sesiapa yang berniat untuk melakukan serangan. Maksudnya senjata nuklear Israel bertujuan supaya mana-mana negara yang bercadang hendak menyerang Israel akan terhalang dengan mengetahui bahawa negara Zionis itu mempunyai senjata nuklear.
Tetapi negara manakah yang dianggap mahu menyerang Israel? Tentulah juga Iran. Retorik Revolusi Iran adalah pemusnahan Israel.

Dalam sistem pertahanan yang menggunakan senjata nuklear, keberkesanannya terletak pada keseimbangan. Maknanya kalau hanya satu pihak yang ada senjata nuklear, maka ia tidak seimbang. Bila tidak seimbang, pihak yang memiliki senjata nuklear itu menjadi dominan dan bersikap hegemoni serta akan membawa kepada keadaan tidak stabil.

Perang Dingin antara Amerika dan Soviet Union tidak membawa kepada perang sebenar kerana kedua-dua kuasa mempunyai senjata nuklear. Maka ia menjadi berimbang. Bukan saja kuasa-kuasa besar itu mempunyai senjata nuklear tetapi juga sekutu-sekutu mereka. Britan dan Perancis mempunyai senjata nuklear. Di sebelah Soviet, sekutunya yang mempunyai senjata nuklear ialah China dan Korea Utara.

Apabila India mempunyai senjata nuklear, maka untuk mengimbanginya, Pakistan juga perlu memilikinya. Semasa Perang Dingin, India adalah bersahabat dengan Soviet tetapi ia bermusuh dengan China. Pakistan pula adalah sekutu Amerika dan bersahabat dengan China. Pada mulanya China bersekutu dengan Soviet tetapi kemudian berbaik dengan Amerika.

Maka dengan Israel saja memiliki senjata nuklear, di Timur Tengah, ia jadi tidak seimbang. Ketika Saddam Hussein memerintah Iraq, negara itu pernah berhasrat untuk membangun senjata nuklear. Tetapi belum sempat berbuat apa-apa, Israel telah memusnahkan loji nuklearnya di Osirak.

Kalau hendak diimbangkan kekuatan Israel itu, Iran wajar membangun senjata nuklearnya. Sebagai negara berdaulat ia bebas untuk memiliki senjata itu. Tetapi senjata nuklear ini penuh risiko pada bumi dan kemanusiaan.

Walaupun senjata nuklear yang digunakan dalam sejarah hanyalah dilakukan oleh Amerika ke atas Jepun, di Hiroshima dan Nagasaki dan tidak akan ada lagi kejadian seumpama itu, tetapi dengan masih adanya senjata nuklear di merata tempat, dunia tetap menghadapi risiko ancamannya. Walaupun tidak sekritikal ketika masa Perang Dingin dahulu.

Langkah terbaik adalah menghapuskan semua senjata nuklear yang ada. Tetapi tidak ada negara yang memilikinya mahu melakukannya. Buat masa ini, negara yang memiliki senjata nuklear ialah Amerika, Britain, Perancis, Rusia, China, Korea Utara, India, Pakistan dan Israel.

Jadi langkah selanjutnya adalah menghalang mana-mana negara baharu yang berhasrat untuk membangun senjata nuklear. Maka sasarannya adalah Iran walaupun negara itu komited untuk membangun kemudahan tenaga nuklear untuk kegunaan perdamaian, dan bukannya persenjataan untuk peperangan.

Tetapi tidak ada negara Barat yang mempercayai Iran. Lebih-lebih lagi retorik republik Islam itu adalah azamnya untuk memusnahkan Israel daripada muka bumi ini.

Amerika pula pada zaman Trump bercakap mengenai “perubahan regim” ke atas Iran. Maknanya Amerika, dan tentunya juga Israel mahu pemerintahan Iran diubah. Mereka mahu Iran seperti pada zaman sebelum Revolusi Islam, iaitu ketika di bawah pemerintahan Reza Pahlavi. Ketika itu, bukan saja Iran merupakan sekutu Amerika tetapi mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Tetapi pemerintahan Shah adalah autokratik dan tidak demokratik. Raja itu memperoleh kuasa dengan dukungan Amerika yang melakukan perubahan regim terhadap pemerintahan Perdana Menteri Mohammad Mossadegh yang dipilih rakyat melalui pilihan raya demokratik.

Perubahan regim yang diimpikan oleh Amerika adalah suatu khayalan. Ametika mungkin membantu kumpulan-kumpulan pro-demokrasi yang menentang sistem republik Islam. Tetapi sesiapa yang mahu memenangi hati rakyat Iran mestilah bersikap anti-Amerika dan anti-Israel.

Amerika gagal hendak melakukan perubahan regim di Syria. Walaupun lemah, Bashar Al-Assad masih berkuasa di Damsyek dan terus menjadi sekutu Iran dan Hizbullah. Amerika berjaya melakukan perubahan regim di Iraq dengan korban yang tinggi. Tetapi kini yang berpengaruh di Baghdad bukan saja Washington tetapi juga Teheran.

Untuk melakukan perubahan regim di Syria, Amerika menggunakan Arab Spring. Ia berjaya di Libya. Tetapi kuasa negara-negara berhaluan kiri yang pada masa lalu merupakan pencabar utama Israel sudah musnah. Pada suatu waktu dulu, Iraq, Syria, Yaman Selatan, Sudan, Mesir, Libya, Tunisia dan Algeria adalah negara berhaluan kiri yang melawan Israel. Kini yang tinggal hanya Syria.Tetapi negara-negara itu tidak melalui revolusi Islam seperti Iran. Amerika perlu mencari jalan lain untuk menundukkan Iran. Tetapi Iran juga mencari jalan untuk menundukkan Amerika.

 

Zin Mahmud berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan sejak awal 1980-an, bekas pengarang Mingguan Malaysia, bekas pengarang kumpulan Harakah dan pernah menerbitkan majalah Dunia Islam.