PRU 13: Undi Melayu dan Tsunami Cina

PRU 13: Undi Melayu dan Tsunami Cina

ULASAN : Dalam PRU 13, Barisan Nasional (BN) telah memenangi 133 kerusi Parlimen daripada 222 jumlah kerusi Parlimen berbanding 140 kerusi yang dimenangi dalam PRU 2008.

Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada pakatan DAP-PKR-PAS berjaya meningkatkan kerusi yang dimenangi daripada 82 kerusi dalam PRU 2008 kepada 89 kerusi.

Umno yang merupakan teras kepada BN telah berjaya meningkatkan kerusi yang dimenangi daripada 79 kerusi dalam PRU 2008 kepada 89 kerusi. Peningkatan prestasi UMNO yang bertanding di kerusi majoriti Melayu khususnya di Kedah dan Kelantan menunjukkan peralihan undi pengundi Melayu kepada BN.

Sebaliknya yang berlaku pada MCA yang meletakkan calon di kawasan majoriti Cina, hanya Berjaya memenangi 6 kerusi sahaja berbanding 15 kerusi pada PRU 2008.

Di Semenanjung, 114 kerusi Parlimen mempunyai pengundi majoriti Melayu (lebih 50%) daripada 165 kerusi Parlimen di Semananjung. Kawasan Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Cina pula sebanyak 22 kerusi manakala kawasan campuran iaitu tiada mana-mana etnik yang menjadi majoriti pula mempunyai 29 peratus kerusi.

Daripada 114 kerusi majoriti Melayu, BN memperolehi 77 kerusi Parlimen berbanding hanya 37 kerusi yang dimenangi oleh PR. Kawasan majoriti Cina pula menunjukkan penguasaan mutlak PR apabila memenangi kesemua 22 kerusi tersebut. Bagi kerusi campuran, PR memenangi 21 kerusi berbanding 8 kerusi oleh BN.

Jumlah keseluruhan kerusi yang dimenangi oleh BN di Semenanjung adalah 85 kerusi yang mana sebahagian besarnya disumbangkan oleh kawasan majoriti Melayu.PR pula memenangi 80 kerusi Parlimen yang lebih separuh daripada kerusi tersebut disumbangkan oleh kawasan majoriti Cina dan kawasan campuran.

Dalam konteks Sabah dan Sarawak pula jelas menunjukkan corak pengundian yang sama apabila PR menguasai secara mutlak di kawasan majoriti Cina apabila memenangi kesemua kerusi tersebut iaitu sebanyak 8 kerusi.

BN pula menguasai kawasan pilihan raya yangmempunyai majoriti Bumiputera Islam dan majoriti Bumiputera Bukan Islam serta kawasan campuran apabila memenangi kesemua kerusi tersebut kecuali satu – Parlimen Penampang. Secara keseluruhan, BN memenangi 48 kerusi daripada 57 kerusi yang mana ianya disumbangkan oleh kawasan majoriti Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kawasan campuran berbanding PR yang hanya memenangi 9 kerusi sahaja dengan majoritinya adalah kawasan etnik Cina.

Beberapa kesimpulan boleh dibuat daripada corak pengundian PRU 13 iaitu pertama, berlakunya Tsunami Cina kepada PR namun kemenangan PR dihalang oleh undi Melayu kepada BN. Kedua, formula gabungan PR menunjukkan kesan sangat positif apabila undi popular berpihak kepada mereka dengan memperolehi 51 peratus undi berbanding BN 47 peratus. Pada PRU 2008, undi popular memihak kepada BN dengan 52 peratus berbanding PR 47 peratus.

PRU 14: Strategi BN

Corak pengundian masyarakat Melayu kepada BN pada PRU 13 boleh dibahagikan kepada dua faktor; Pertama, pengundi tegar UMNO khususnya di kawasan luar bandar dan tanah rancangan Felda. Kedua, pengundi anti-DAP, termasuklah dalam kalangan pengundi PAS.

Justeru mengekalkan sokongan kedua golongan ini mampu memudahkan jalan BN mengekalkan kuasa di peringkat kerajaan Pusat. Sentimen demi sentimen perlu dimainkan bagi menjamin ketakutan berterusan kepada proses pertukaran kerajaan yang didakwa akan memusnahkan hak orang Melayu dan Islam manakala hanya BN yang didominasi Umno sahajalah tempat bergantung dan pejuang bangsa dan agama.

Strategi ini ditambah dengan pemberian-pemberian khas kerajaan kepada golongan sasaran ini pasti mengekalkan sokongan mereka kepada BN.

Selain itu, strategi kedua pula adalah menghapuskan kesepakatan pembangkang. Ini dapat dilihat sejak hari pertama pembentukan kerajaan baru di Selangor dan Perak di mana beza kerusi pembangkang dan kerajaan adalah sedikit. Dalam proses ini, ura-ura gabungan parti Umno dan Pas akan kedengaran sehingga menyebabkan Dato’ Dr Hasan Ali Pesuruhjaya Pas Selangor dipecat pada tahun 2012 dan Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden Pas dilucutkan jawatan pada tahun 2013.

Ramai melihat langkah keras tersebut dipengaruhi oleh pendirian Mursyidul Am ketika itu, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang amat lantang menolak sebarang kerjasama dengan UMNO dan ingin memastikan gabungan PR terus utuh.

Pendirian Tok Guru Nik Aziz itu akhirnya diubah setelah beliau meninggal pada bulan Februari 2015 dan seterusnya usul berpecah daripada PR dibawa dalam Muktamar Pas yang diadakan pada bulan Jun 2015. Usul tersebut dibacakan dan diluluskan tanpa bahas oleh para perwakilan. Sejak itu, Pas bersendirian dan parti AMANAH ditubuhkan bagi menggantikan tempat Pas.

Bagi Umno, tentunya mereka bergembira. Selain sentimen anti-DAP yang terus dimainkan, pertembungan 3 penjuru dalam PRU 14 mampu menguntungkan mereka berdasarkan kes Dun Kota Damansara di mana PAS menghantar calon saat akhir sehingga menyebabkan calon PR ketika itu tewas. Calon BN mendapat 16,387 undi, calon PSM yang menggunakan tiket PKR mendapat 14,860 undi, dan calon Pas mendapat 7,312 undi.

Perpecahan ini disebabkan Umno? Ada beberapa bukti yang menunjukkan perkara ini antaranya pendedahan audio oleh halaman Facebook AnaTahu di mana rakaman suara Ustaz Nik Abduh mengaku menerima duit daripada Umno dan pengakuan terbuka Dr. Zuhdi Marzuki yang menyatakan Pas menerima ‘derma’ daripada individu UMNO yang didapati mempunyai jawatan penting dalam parti itu.

PRU 14: Strategi Pembangkang

Tumpuan pembangkang pasca PRU 13 adalah memberi fokus kepada kerusi-kerusi marginal. Berdasarkan rekod, terdapat 51 kerusi marginal BN di mana penyandangnya hanya menang dengan 10 peratus undi majoriti. Namun, pertembungan 3 penjuru bakal menyukarkan usaha ini.

Bagi melawan strategi pertama BN tentang sentiment anti-DAP, fakta dan info tepat harus disampaikan khususnya prestasi dan rekod pemerintahan di Pulau Pinang dan Selangor. Bagi melawan strategi kedua pula, Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan dan strategi tambahan yang perlu adalah memastikan berlakunya Tsunami Melayu. Di sini peranan Tun Mahathir dan Ustaz Nik Omar menjadi harapan kemenangan PH.

Faktor Tun Mahathir

Pertamanya, Tun M telah dikenali sebagai seorang yang ultra Melayu. Digelar oleh ISMA, sebuah pertubuhan Islam Melayu bahawa Tun M adalah pemimpin Melayu harapan dunia Islam. Keperibadian ini tentunya dapat meredakan sentimen anti-DAP yang kuat dalam kalangan orang Melayu khususnya di luar bandar. Selain itu, beliau yang berumur 93 tahun namun tetap bersemangat berkempen mampu membuka mata rakyat bahawa Malaysia sangat perlu diselamatkan.

Kedua, gandingan Tun M dan Anwar Ibrahim menggamit memori pemerintahan Malaysia yang kuat dahulu. Bagi orang Islam dan pegawai kerajaan tentunya boleh mengimbau dasar islamisasi yang mereka gerakkan dahulu. Ini juga mampu mematahkan sentiment anti-DAP.

Ketiga, Tun M berjaya membolos kawasan kuat Umno iaitu FELDA. Ada yang mempertikaikan kehadiran ke ceramah sebagai tidak boleh dijadikan indicator sokongan pilihanraya, namun keizinan warga FELDA yang diberikan kepada pihak pembangkang untuk masuk ke sana adalah satu perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Keempat, berapa ramai tokoh Umno yang kini bersama beliau? Antaranya Tan Sri Rafidah dan Tan Sri Rais Yatim yang secara terbuka mengkritik kerajaan dan memberikan kelebihan kepada PH.
Mungkin kerana faktor Tun M ini, pelbagai sekatan dikenakan seperti partinya tidak boleh didaftarkan, gambarnya tidak boleh digantung dan sebagainya. Tsunami Melayu tidak akan berlaku?

Faktor Nik Omar

Kehadiran megejut beliau sebagai calon Dun Chempaka menjadi bualan hangat pengundi Kelantan dan PAS khususnya. Ura-ura Nik Omar bersama PH telah lama kedengaran dan menjadi satu harapan buat para penyokong khasnya penyokong AMANAH.

Dua mitos yang dapat beliau patahkan; Pertama, tiada lagi Tahaluf Siyasi dengan DAP. Ramai penyokong Pas menggunakan hujah ayahnya Tok Guru Nik Aziz kekal bersama Pas sehingga ke akhir hayat namun mereka lupa bahawa ayahnya juga kekal dalam Tahaluf Siyasi Pakatan Rakyat hingga ke hembusan nafas terakhir beliau. Prinsip ini diteruskan oleh Nik Omar.

Mitos kedua pula adalah tidak boleh menerima Tun M ke dalam pakatan pembangkang. Para penyokong Pas siang dan malam mengungkit kisah-kisah lama Tun M dan menjadikan ia hujah bahawa Tun M tidak boleh mengetuai pembangkang dan usaha menyelamatkan negara. Mereka lupa bahawa arwah Tok Guru Nik Aziz sendiri pernah mengalukan Tun M ke dalam PAS dan memuji Tun M sebagai tokoh yang berwibawa, berfikiran tajam, dan PAS mampu menumpang kelebihannya. Itulah yang dijadikan pendirian PH hari ini dan Nik Omar adalah gambaran pendirian arwah.

Jelas faktor Nik Omar ini sangat diperlukan bagi menukar undi penyokong PAS kepada PH lantas mengelakkan kesan buruk akibat pertembungan 3 penjuru.

Kepada penyokong dan pengundi PH, marilah kita menghayati permainan strategi PRU 14 ini, usahakan perubahan pemikiran pengundi tegar UMNO dan PAS melalui dua sosok hebat ini sehingga akhirnya kemenangan menjadi milik kita. Semoga kewujudan kedua tokoh ini mampu menghasilkan Tsunami Melayu yang ditakuti oleh BN dan menjadi HARAPAN kemenangan buat Pakatan HARAPAN!

*Penulis adalah rakyat Malaysia seorang graduan  di Universiti Yarmouk, Jordan.

8.3
OVERALL SCORE
: 6.0
2 user votes x 9.5