PRU-14 makin dekat, Kabinet bekukan projek hartanah mewah

PRU-14 makin dekat, Kabinet bekukan projek hartanah mewah

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang semakin hampir, kerajaan menetapkan pembekuan sementara semua projek pembinaan kondominium dan premis komersial bernilai RM1 juta ke atas berkuatkuasa bulan ini.

Memetik Berita Harian semalam, keputusan Kabinet pada 1 November lalu itu bagi mengimbangi penawaran dan permintaan hartanah di Malaysia ekoran kebanyakan unit hartanah mewah sekarang tidak terjual.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam laporan akhbar itu berkata, banyak hartanah kediaman melebihi suku juta ringgit tidak laku sebaliknya permintaan rumah mampu milik jauh melampaui penawaran.

“Permintaan rumah mampu milik sebenarnya mencecah 48 peratus, tetapi penawaran hanya 24 peratus. Kita nak seimbangkan dalam soal ini dan banyak rumah yang tidak terjual itu melebihi RM250,000,” ujarnya.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporannya minggu lalu mendedahkan berlakunya peningkatan hartanah kediaman tidak terjual merangkumi kondominium, premis komersial seperti pejabat dan pusat membeli belah.

Laporan ‘Ketidakseimbangan Dalam Pasaran Hartanah’ itu menyatakan sebanyak 130,690 unit hartanah kediaman tidak terjual pada suku pertama tahun ini.

Jumlah tersebut didedahkan sebagai tertinggi dalam tempoh sedekad dan hampir menyamai dua kali purata dalam sejarah yang pernah tercatat sebanyak 72,239 unit setahun antara 2004 hingga 2016.

Menurut BNM, kira-kira 83 peratus unit kediaman tidak terjual itu dalam kategori harga lebih RM250,000 dengan jenis bangunan tinggi sahaja mencecah 61 peratus.

Perbandingan mengikut negeri pula menyaksikan Johor paling banyak unit kediaman tidak laku iaitu sebanyak 27 peratus diikuti Selangor (21 peratus), Kuala Lumpur (14 peratus) dan Pulau Pinang dengan kadar lapan peratus.

Sehubungan itu, BNM berpendapat ketidakseimbangan penawaran dan permintaan semasa yang tidak dikawal akan menyebabkan lambakan hartanah di negara ini menjadi semakin teruk.

Kosong

Keadaan tapak projek Pantai Sentral Park di Kuala Lumpur.

Sementara itu, tinjauan Malaysia Dateline di sekitar Kerinchi dan Pantai Dalam di ibu negara menyaksikan sebahagian projek hartanah mewah meliputi pembinaan kondominium dan premis komersial sedang rancak berjalan.

Sebahagian unit hartanah mewah di Parlimen Lembah Pantai itu sudah siap sejak awal tahun ini tetapi memasuki penghujung tahun ini kebanyakannya dilihat masih kosong tanpa penghuni.

Jurang ketara sosio-ekonomi antara kelompok rakyat miskin bandar dengan kelas berpendapatan tinggi juga dapat dilihat pada dua blok kondominium, “[email protected] Park – Bangsar” bersebelahan Pusat Komuniti Lembah Pantai.

Projek hartanah kediaman mewah yang siap sejak awal tahun ini terletak bersebelahan Kondo Rakyat yang merupakan flat kos rendah sejak tahun 1990-an.

Sementara itu, kawasan Pantai Dalam yang dijenamakan sebagai Pantai Sentral Park melalui papan iklan projek memaklumkan sebagai “pembangunan yang ikonik di Bangsar South”.

Persekitaran rumah mampu milik di Kuala Lumpur pula sesak tanpa mengambil kira kesejahteraan generasi masa depan.

Projek kediaman mewah yang dikatakan satu-satunya dikelilingi kawasan hijau di bandar raya itu dilihat mencakupi kawasan yang amat luas sehingga menghampiri rizab hutan, Taman Rimba Kerinchi dan Bukit Gasing yang termasuk dalam wilayah Selangor.

Tinjauan turut menyaksikan cuma tinggal Tanah Perkuburan Islam Pantai Dalam dan Surau Al Falah dikekalkan pada ketika kawasan lain sedang dibangunkan projek bercampur melibatkan tujuh fasa kediaman itu.

4.5
OVERALL SCORE
1 user vote x 9.0
CATEGORIES