PRU-14: Parlimen mungkin dibubar separuh jalan

PRU-14: Parlimen mungkin dibubar separuh jalan

Penganalisis politik menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bakal berlangsung awal Mei depan apabila usul persempadanan semula diluluskan Dewan Rakyat.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berkata, tarikh pembubaran Parlimen bergantung kepada usul persempadanan semula yang menjadi agenda utama sidang Dewan Rakyat yang bermula semalam.

“Memang susah untuk jangka bila (pembubaran) sama ada selepas persidangan Dewan Rakyat atau separuh jalan saja.

“Sebaik saja usul persempadanan semula diluluskan (Dewan Rakyat), saya yakin ketika itu Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen dan sebulan selepas itu PRU-14 diadakan,” dipetik daripada akhbar Berita Harian hari ini.

Dr Mazlee Malik

Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid turut berpendapat awal Mei depan sebagai tempoh paling sesuai diadakan PRU-14.

Beliau yakin persidangan Parlimen terakhir sebelum PRU-14 akan dibubarkan separuh jalan iaitu akhir bulan ini sejurus usul persempadanan semula diluluskan.

“Usul itu dilihat lampu hijau untuk kerajaan membubarkan Parlimen.

“Sekiranya Perdana Menteri membubarkan Parlimen hujung bulan ini, ada tempoh sebulan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan tarikh pilihan raya, iaitu pada awal Mei depan,” katanya.

Menurut Dr Hamidin lagi, tempoh berkempen mungkin disingkatkan bagi memastikan tarikh mengundi tidak berlangsung pada bulan Ramadan jika PRU-14 diadakan ada awal Mei depan.

Sejak Pilihan Raya Umum 2008, BN hilang majoriti dua pertiga. Cadangan persempadanan semula yang akan terpakai sejurus diluluskan Parlimen membabitkan sejumlah 128 daripada 222 kawasan pilihan raya Parlimen.

Rombakan persempadanan semula kali ini yang menyaksikan lebih banyak kerusi majoriti Melayu dan Cina dilihat banyak pihak memberi kelebihan kepada BN terutama di Selangor yang terlepas di tangannya sejak 10 tahun lalu.

Parlimen akan terbubar secara automatik pada 24 Jun diikuti tempoh 60 hari untuk pilihan raya mesti diadakan.

Setakat Suku Tahun Ketiga 2017 seramai 14,806,185 pengundi berdaftar dengan 50.5 peratus iaitu 7.480 juta adalah pengundi wanita.

Kumpulan pengundi berumur 21 hingga 39 tahun menjadi kelompok pemilih berdaftar paling ramai iaitu 7.09 juta diikuti 3.01 juta pengundi berusia 40 hingga 49 tahun.

9.0
OVERALL SCORE
: 6.0
3 user votes x 10.0