PRU-14 peluang rakyat jatuhkan Najib, Abdul Hadi demi maruah Melayu

PRU-14 peluang rakyat jatuhkan Najib, Abdul Hadi demi maruah Melayu

Zaid Ibrahim

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berpendapat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah peluang untuk orang Melayu mengembalikan maruah mereka dengan menjatuhkan Najib Razak dan Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, kedua-dua Presiden Umno dan Pas berkenaan perlu dijatuhkan sekiranya orang Melayu benar-benar memperjuangkan maruah bangsa dan agamanya.

“Bukan saja 1MDB (1Malaysia Development Berhad), banyak lagi penyelewengan lain. Penyamun-penyamun yang berleluasa ini, siapa nak ubah, kalau tidak orang Melayu?

“Pilihan raya ini bukan sahaja nak pilih calon tapi dunia nak tengok Melayu ini macam nana. Adakah Melayu ini betul-betul bangsat, betul-betul penakut sampai benda yang jelas (salah) tidak nampak?

“Islam akan terjejas kalau kita buat perangai sekarang ini (membiarkan kleptokrasi terus berkuasa). Malu lihat negara Islam yang menghalalkan benda-benda karut.

“Kalau kita betul-betul perjuangkan Islam, sepatutnya kita tolak Umno,” tegasnya dalam Taklimat Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Kelantan di Kubang Kerian malam tadi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang Melayu supaya berfikir tentang kepentingan ekonomi mereka sendiri bukannya terus terpengaruh dengan dakwaan kononnya kedudukan bangsa dan Islam terancam.

“Berbalik pada soal maruah. Dunia sedang melihat Melayu dan Islam jenis yang macam mana. Kita sekarang ini takut Islam (terancam), takut Lim Kit Siang, takut raja hilang.

“Raja Melayu jangan bimbanglah. Dia pandailah jaga diri dia. Dia semua sudah kaya-kaya. Tak perlu jadi hero. Nak bela apa lagi. Tiada siapa nak turunkan raja Melayu. Tiada sebab.

“Masanya tiba untuk kita fikir diri kita sendiri. Fikir ekonomi negara kita, cari makan, sekolah anak kita. Itu yang patut kita fikir dan bimmbangkan.

“Pilihan raya 2018 ini usaha terakhir. Bukan saja Najib jatuh, Hadi Awang jatuh, semua yang mengkhianati kita sekian lama juga jatuh,” tegasnya.

Zaid kemudiannya sekali lagi menekankan tentang pentingnya menjatuhkan kedua-dua presiden parti itu dalam program yang turut dihadiri pimpinan PKR, AMANAH dan Bersatu.

“Pilihan raya ini peluang terbaik kita sementara Tun Mahathir, Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin yang tua ada lagi.

“Kalau kita habiskan peluang ini, kita pilih Najib dan Hadi Awang, maka selesailah sejarah Melayu.

“Boleh tulis ‘buku baru’. Boleh tulis buku baru kerana kita sudah tiada ada lagi nilai dan sifat Melayu sebenar,” ujar penulis buku, ‘Saya Pun Melayu’ itu lagi.

Peguam tersebut berpendapat seluruh dunia hairan kenapa Malaysia masih memiliki perdana menteri yang menyamun wang sebegitu besar padahal jika di negara lain sudah tidak boleh bertanding dan menjadi ketua parti sekalipun.

“Apabila orang bercakap pasal Malaysia, orang bercakap pasal Melayu. Perdana menteri, raja, ulama, mufti, menteri orang Melayu.

“Malaysia ini negara orang Melayu. Kalau orang Melayu tidak rasa malu apa berlaku hari ini, kalau orang Melayu tidak perlu bela maruah bangsa kita, siapa lagi mahu bela?” soalnya.

Pengasas firma guaman Zaid Ibrahim & Co itu turut menyelar sikap sebahagian besar golongan agama yang berdiam diri terhadap pelbagai kepincangan urus tadbir negara pada masa ini.

“Hari ini kita dapati mufti, ketua-ketua agama, ketua-ketua jabatan, pemimpin-pemimpin agama diam tidak bersuara. Biarlah dia nak cari makan tapi kita orang bawah ini tidak payah ikut. Itu bukan membela Islam.

“Itu orang cari makan dengan Islam. Orang cari makan dengan Islam, ramai. Kalau kita nak bela agama kita, benda betul, betul. Mana yang salah, tetap salah.

“Ini sepatutnya perjuangan kita. Kalau orang agama tidak bela, dia nak bela apa?” bidas Zaid lagi yang juga merupakan ahli DAP.

Turut berpidato di kediaman Zaid di tepi Sungai Pasir Ho adalah Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Sany Hamzan; Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir; Pengerusi DAP Kelantan, Chua Chin Hui dan Ketua Bahagian Bersatu Ketereh, Dr Radzi Jidin.

4.5
OVERALL SCORE
1 user vote x 9.0
CATEGORIES