PRU-14: Rakyat mesti realistik bukan retorik, simplistik

PRU-14: Rakyat mesti realistik bukan retorik, simplistik

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik menyeru masyarakat supaya mengamalkan pendekatan realistik dalam membuat pilihan pada PRU-14 bukannya bersikap idealistik, retorik mahu pun simplistik.

Pengarang buku Orkes Masyarakat Manusiawi itu berkata, peranan moral dan kesan daripada keputusan yang dilakukan kepada masyarakat, alam sekitar dan generasi seterusnya perlu diambil kira pada PRU-14.

“Kita kena bersikap realistik bagaimana nak buat pilihan pada pilihan raya umum akan datang. Kita kena realistik. Dalam pilihan raya kali ini bukan antara Saidina Umar atau Saidina Ali.

“Bukan kita naik pilih antara Saidina Abu Bakar atau Saidina Umar. Kita tidak hidup pada zaman itu. Kita hidup pada realiti hari ini yang ada kelebihan dan ada kekurangan yang tidak maksum walaupun serbannya tebal dua inci, berjubah atau apa gelaran sekalipun.

“Kalau kita katakan maqasid syariah sebagai ukurannya, masing-masing ada hujah maqasid syariah sendiri hatta yang mencuri berbilion-bilion pun ada orang mempertahankannya,” ujarnya dalam Seminar Nasional Maqasid Shari’ah 2018 bertemakan ‘Maqasid Shari’ah Dalam Pilihan Raya’ di Shah Alam baru-baru ini.

Sebaliknya, tegas beliau, sikap segelintir individu yang menyerahkan aktiviti berfikir untuk membuat keputusan kepada agamawan bercanggah dengan nilai maqasid syariah dan kemanusiaan.

“Kita serahkan pada orang lain. Kita tidak mahu berfikir. Dari segi maqasid syariah dan kemanusiaan tidak betul, sebab yang akan buat keputusan adalah kita dan yang menyebabkan kesan adalah kita.

“Manusia bertamadun seorang mukallaf, seorang mukmin dalam hendak membuat keputusan, dia perlu berada dalam keadan sedar dan tahu bahawa keputusan yang dibuat adalah amanah,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Maszlee berkata, proses berfikir paling penting sebelum membuat keputusan kerana orang yang membuat keputusan tanpa berfikir akan dipengaruhi emosi dan reaksi atau spontan.

Menurutnya, emosi dan reaksi dalam membuat keputusan lazimnya mendatangkan kesan negatif termasuk dalam konteks menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata rakyat sepatutnya didedahkan dengan perbincangan manifesto dan pidato pimpinan ketiga-tiga blok parti sama ada BN, Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera tentang hala tuju yang mereka hendak bawa selepas PRU-14.

Jelas pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh berkenaan, budaya dialog itu penting supaya masyarakat mendapat maklumat daripada semua pihak sebelum keluar mengundi.

“Tapi masalahnya dalam kampus pun tidak boleh (perbincangan). Banyak mahasiswa di IPTA hendak buat debat dalam kampus, HEP (Hal Ehwal Pelajar) tidak benarkan.

“Itu nak buat keputusan bagaimana? Sedangkan yang terpilih ke IPTA adalah orang yang mempunyai IQ yang tinggi. Sepatutnya mereka didedahkan maklumat dan perdebatan,” ujarnya.

Dr Maszlee berkata, pendedahan mahasiswa kepada maklumat pilihan raya akan membolehkan golongan terbabit kemudiannya berperanan sebagai ejen pendidikan demokrasi dalam masyarakat.

“Mereka ini akan membantu keluarga dan masyarakat sekeliling (membuat keputusan). Tapi kalau mereka pun tidak dibenarkan mengadakan perbicangan, bagaimana mereka hendak membuat keputusan?” soalnya lagi.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS