Malaysia Dateline

PRU 15: Bagaimana memenuhi harapan rakyat

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bahkan daripada tahun 1998 secara tepatnya, kita dapat melihat satu pola politik yang cenderung kepada perubahan dalam negara kita.

Ini bukan bermakna bahawa pola ini tidak kelihatan sebelum itu, namun apa-apa perubahan yang dilihat sebelum 1998 bukanlah sesuatu yang kekal dan berterusan sepertimana yang terjadi pasca 1998.

Tahun 1998 ditandai dengan kebangkitan rakyat khususnya orang Melayu susulan perkembangan politik ketika itu yang melibatkan dua tokoh politik yang bersaing kuasa – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim – dengan tercetusnya ‘gerakan reformasi’ pimpinan Anwar juga membawa kepada kebangkitan orang Melayu menolak Umno sehingga banyak kawasan pilihan raya yang diwakili Umno berpindah ke tangan pembangkang yang bergabung di bawah satu gabungan baru – Barisan Alternatif (BA) dalam pilihan raya umum tahun tersebut.

Bagaimanapun Barisan Nasional sebagai parti pemerintah terus mengekalkan kuasa apabila peralihan sokongan orang Melayu masih tidak mencukupi ditambah sokongan padu pengundi bukan Melayu terhadap gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN) itu terus mengekalkan kuasanya.

Pola perubahan ini terjadi kerana rakyat mula menyedari tentang potensi alternatif kepada BN yang telah berkuasa sekian lama, sebelum 1974 sebagai Perikatan.

Selain itu kesedaran yang semakin tinggi tentang hak demokrasi membuat pilihan politik apabila berdepan dengan dakwaan-dakwaan “salah laku” dan “rasuah” serta kepincangan dalam urus tadbir negara.

Tahap kecelikan politik menjadi semakin tinggi hasil teknologi baru menerusi internet dan media elektronik yang meluas.

Walaupun pada asasnya sepertimana dalam kebanyakan negara sedang membangun, faktor ekonomi atau lebih tepat lagi keperluan material menjadi faktor utama bagi warga sesuatu negara termasuk Malaysia, secara perlahan perkara-perkara lain juga menjadi perhitungan kepada rakyat dalam membuat keputusan siapakah yang akan dipilih untuk memerintah negara.

Ini ditambah dengan persepsi bahawa masalah ekonomi berpunca daripada salah tadbir urus pemimpin.

Janji pembangunan dan penyediaan kemudahan bagi rakyat memang menjadi faktor penarik utama bagi sesebuah parti yang bertanding dalam pilihan raya dengan kelebihan dinikmati parti yang sudah lama memerintah seperti BN.

Tetapi apabila pemimpinnya dikaitkan dengan salah guna kuasa – seperti dalam episod 1998 susulan pemecatan Anwar daripada parti dan kerajaan – rasuah, dan sebagainya, rakyat mula memikirkan tentang masa depan negara sekiranya dibiarkan amalan-amalan tidak sihat itu dibiarkan.

Justeru, satu cara berkesan ialah membuat perubahan kepada parti pemerintah negara.

Kerana itulah BN telah “tergoncang” pada PRU 1999, PRU 2008, PRU 2013 dan akhirnya pada PRU 2018 terus kehilangan kuasanya.

Pola perubahan kepada pentadbiran yang lebih baik terutama yang menjanjikan urus tadbir baik dan bebas daripada salah guna kuasa dan rasuah menjadi hasrat dan impian rakyat.

Harapan bagi merealisasi impian ini datang dalam bentuk parti-parti alternatif yang pada mulanya bergabung dalam BA, diikuti Pakatan Rakyat (PR) hampir sedekad kemudian dan akhirnya Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU ke 14.

Itulah sebabnya prestasi gabungan parti yang lahir selepas BA semakin bertambah baik dan diterima rakyat.

Namun dunia politik adalah juga dunia persaingan kepentingan. Dalam konteks negara kita, ia menjelma sebagai kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti dan negara.

Rakyat negara kita diperlihatkan kepada watak-watak politik yang pelbagai – daripada mereka yang mempunyai sedikit kredibiliti dan mungkin mempunyai jiwa mahu berkhidmat untuk rakyat kepada mereka yang hanya menggunakan posisi untuk kepentingan peribadi terutama mengejar habuan kebendaan yang seiring dengan jawatan.

Malangnya rakyat hanya menyedari tentang perkara ini selepas membuang undi dan selepas kerajaan baru dibentuk.

Rakyat dipersembahkan dengan pelbagai aksi para politikus. Dalam negara kita, eksploitasi sentimen memang menjadi strategi ampuh untuk meraih sokongan.

Sentimen kaum menjadi perkiraan utama dalam menarik sokongan diikuti dengan sentimen agama.

Selepas berjaya mendapat kuasa sentimen-sentimen ini tidak lagi menjadi agenda dalam sistem penyampaian kerajaan yang terbentuk.

Isu-isu kaum dan agama yang dibangkitkan suatu waktu dahulu sebelum berkuasa disenyapkan begitu sahaja.

Rakyat kini berada di persimpangan. Siapakah yang harus diberi kepercayaan untuk mentadbir negara?

Sebelum ini mereka mengharapkan PH kerana janji-janjinya akan membawa reformasi kepada pentadbiran dan melaksanakan pemerintahan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Bukan sahaja PH tidak berkesempatan membuktikan ia mampu mengotakan janji-janjinya, malah ia dilihat lemah dalam menyampaikan polisi dan programnya sehingga apa pun pembaharuan yang dibuat tenggelam hasil propaganda pihak lawan dari pihak pembangkang.

Kesannya, kemerosotan pengaruh dan kuasa yang terbukti setiap kali pilihan raya kecil diadakan selepas hanya memerintah setahun dan berkesudahan dengan kejatuhannya. Ini termasuklah masalah politik dalaman membabitkan kepimpinannya yang membosankan rakyat.

Apabila PH dijatuhkan oleh mereka yang sebelum itu menjadi figura utama kerajaan yang mereka jatuhkan, rakyat bertambah bosan.

Mereka mempersoalkan sistem itu sendiri yang membolehkan pihak yang tewas pilihan raya bangkit menumbangkan kerajaan yang dipilih rakyat.

Apa guna memlilih seseorang atau sebuah parti sekiranya nanti mereka bersama pembangkang dan membentuk kerajaan baru yang bukan menjadi pilihan mereka?

Di sini timbullah soal kepercayaan. Siapakah yang boleh dipercayai? Apakah erti sebuah undi?

Pada masa yang sama ia membawa kita kepada perbahasan mengenai sistem demokrasi. Memang sistem ini memberikan peluang kepada rakyat memilih kerajaan yang mereka mahu.

Tiada apa-apa yang salah pada sistem itu, yang menjadi masalah ialah sikap dan tindakan mereka yang menyertainya dan mempergunakannya bagi kepentingan diri iaitu daripada kalangan ahli-ahli politik.

Apabila keadaan seperti ini terjadi tentunya penambahbaikan harus difikirkan bagi menyelamatkan demokrasi seperti yang diamalkan sekarang agar pilihan rakyat sentiasa dihormati dan dipertahankan.

Barangkali pembaharuan inilah satu cara bagi mengembalikan keyakinan rakyat pada sistem kita. Antara yang boleh dicadangkan ialah peruntukan dalam undang-undang menghalang “lompat parti” termasuk keperluan akuan sumpah bagi setiap calon meletakkan jawatan wakil rakyatnya sekiranya beliau berpindah sokongan kepada individu atau parti lain.

Mungkin juga ia disertai dengan pembayaran pampasan kepada parti yang diwakilinya semasa menjadi calon pilihan raya dan kerusi yang dimenanginya.

Tujuannya semata-mata untuk meyakinkan rakyat memilih calon yang benar-benar mewakili mereka atas dasar dan janji yang dibuatnya.

Barangkali ini boleh menjadi salah satu “had” atau sekatan kepada amalan tidak demokratik yang timbul nanti.

Selain itu sudah sampai masanya untuk generasi lama pemimpin politik berundur daripada pentas politik dan memberikan peluang kepada satu generasi baru yang muda tampil untuk memimpin negara.

Hasrat generasi muda yang semakin ramai sekarang ini harus diberi perhatian. Dan komposisi kepimpinan baru seharusnya datang daripada pelbagai parti politik yang boleh bergabung atas acuan membawa satu aspirasi baru yang segar meninggalkan politik sempit yang berasaskan kaum dan agama yang telah mendominasi politik negara sekian lama.

Kemunculan generasi baru ini mungkin dapat memberikan nafas baru kepada program pembangunan dan kemajuan negara yang bebas daripada politiking sempit, pergeseran tidak berkesudahan antara tokoh, dan sentimen-sentimen perkauman dan agama yang selama ini membelenggu sistem politik kita.