Malaysia Dateline

PRU-15: Bersatu harap kerusi selamat, sukar kerjasama dengan Umno

Pertembungan antara Bersatu dan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sukar dielak, malah Umno dilihat sukar merintis kerjasama dengan parti diterajui Mahiaddin Md Yassin itu.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berpendapat keadaan tersebut serentak ketika sebahagian besar akar umbi parti tersebut tidak bersedia untuk berdamai.

“Langkah mengelakkan pertembungan ini mungkin dengan mengadakan pemilihan parti dan jika pemimpin Umno yang dilihat pro-Bersatu menguasai kepimpinan, mudah untuk kerjasama itu dibincang semula.

“Tetapi ini pun masih bergantung kepada penerimaan ahli akar umbi kerana kebanyakan mereka tidak mahu kerjasama ini dijalinkan.

“Jika diteruskan, perpecahan dalaman parti pula akan berlaku,” lapor BH.

Kelmarin, Mahiaddin berkata, Bersatu sedia bertembung dengan Umno jika parti dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu kekal menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.

Zahid pula semalam berkata, lebih ramai pemimpin dan ahli Bersatu menyatakan hasrat untuk kembali menyertai semula Umno.

Mengulas lanjut, Dr Awang Azman mengakui pertembungan antara Umno dan Bersatu ketika ini lebih tertumpu kepada pembahagian kerusi dengan Umno tidak mudah melepaskan kerusi yang mereka menangi pada PRU-14 untuk diberikan kepada Bersatu.

“Bersatu mengharapkan kerusi yang boleh menang atau kerusi selamat. Kebanyakan kerusi ini pula memerlukan sokongan bukan saja daripada Umno, tetapi juga Pas,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Bersatu pada masa ini mempunyai 32 kerusi termasuk kumpulan Azmin Ali dari PKR yang mengkhianati kerajaan Pakatan Harapan (PH) genap setahun lalu menerusi Langkah Sheraton manakala Umno mempunyai 38 kerusi Parlimen.