Malaysia Dateline

PRU-15: Dapatkah Umno cari anjakan baharu?

Apakah kita kini sedang melihat keruntuhan Muafakat Nasional (MN)- gabungan politik Umno-Pas yang terjalin sejak 2019? Ini selepas keluarnya kenyataan bersama setiausaha agung Bersatu dan Pas berhubung pengukuhan kedua-dua parti mereka dalam Perikatan Nasional (PN).

Kenyataan itu keluar selepas tiga hari Umno mengumumkan menamatkan kerjasama dengan PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Apa makna tersirat yang boleh dibaca daripada kenyataan media bersama itu?

Seperti diperkatakan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, keputusan Bersatu-Pas itu tidak ubah seperti mahu meninggalkan Umno.

Beliau dilaporkan sebagai berkata, Pas mahu ‘menceraikan’ Umno kerana sudah dapat teman baru yang lebih baik. Menurutnya, Pas mungkin lupa bahawa penyatuan ummah menerusi MN yang diasaskan bersama Umno dan Pas telah membawa kekuatan baharu kepada politik Melayu.

Kekecewaan Umno terhadap Pas adalah berasas, lebih-lebih apabila parti itu kini dilihat bersama parti saingnya dalam menempuhi PRU-15, yang disebut-sebut sebagai pilihan raya umum (PRU) yang paling getir setakat ini.

Atau adakah kita sedang melihat keruntuhan Barisan Nasional (BN)?

Dalam masa sama, MIC – salah sebuah parti pengasas BN – turut mengumumkan akan terus menyokong Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan terus berpendirian begitu sehingga keputusan muktamad mengenainya dibuat Majlis Tertinggi BN.

Dari sudut ini, kelihatan Umno seolah-olah keseorangan. Umno yang kita kenal sebelum ini sangat berbeza, dialah ‘abang besar’ dalam BN, dialah yang memegang jawatan perdana menteri.

Persoalannya, apakah langkah seterusnya Umno sekarang? Adakah parti Melayu itu akan terus tertanya-tanya sama ada rakan-rakan komponennya bersamanya atau tidak, atau sebaliknya, Umno sendiri melakukan sesuatu untuk mempersiapkan diri menghadapi PRU-15?

Sebagai sebuah parti yang telah sekian lama mengutip pengalaman dari aspek gabungan politik, Umno perlu tajam memikirkan siapa wajar bersamanya sebagai rakan strategik. Dan sebagai persiapan menempuhi PRU-15, Umno juga perlu menyedari bahawa Malaysia kini sudah berubah.

Malaysia berada dalam situasi demokrasi 50:50 sejak 2008. Ini adalah normal baharu. Malaysia mampu mencapai tadbir urus yang baik melalui pembinaan gabungan parti yang mempunyai kekuatan yang sama.

Justeru, memandang ke hadapan, adakah Umno akan terus bersama rakan-rakannya pada PRU-15 atau mencari anjakan baharu?

Adakah sudah tiba masa bagi Umno mempersiapkan jentera untuk bertanding menentang Bersatu dan Pas sepertimana berlaku pada PRU-14? Untuk makluman, Umno, Pas dan Bersatu bertanding di 47 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia pada PRU-14.

Apa-apa pun, tumpuan semua pihak pastinya pada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungannya sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) berkata, MKT telah menerima mandat untuk menentukan tarikh yang sesuai bagi kesemua pemegang jawatan utama dalam kerajaan daripada UMNO untuk melepaskan kedudukan mereka.

Oleh itu, sebaik sahaja tarikh terbabit ditentukan oleh MKT, maka paluan gendang akan mula kedengaran dan bermula daripada situ, pastinya bahang pertempuran PRU-15 hangat terasa.