Malaysia Dateline

PRU 15: Gelombang Asal Bukan Umno atau Aku Bagi Umno?

Strategi perpecahan pembangkang telah cuba digunakan oleh Umno-Barisan Nasional semasa PRU 14 lagi. Parti Pas dilihat cenderung untuk menjadi penasihat kerajaan walaupun hakikatnya pada ketika itu mereka adalah parti pembangkang.

Jika dilihat dari segi sifir mudah, perpecahan Pas daripada gabungan parti pembangkang akan mengurangkan undi pembangkang bukannya Umno-Barisan Nasional. Namun perkara tersebut tidak berlaku sebaliknya pengundi menggunakan terma Asal Bukan Umno (ABU).

Oleh itu, rata-rata pengundi Pantai Timur akan menyokong parti Pas, manakala pengundi Pantai Barat akan menyokong parti-parti daripada Pakatan Harapan. Tsunami ini dilihat tidak berkekalan apabila beberapa siri Pilihan Raya kecil (PRK) memihak kembali kepada Umno-Barisan Nasional.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, momentum Asal Bukan Umno (ABU) dan tsunami politik seperti yang berlaku sebelum ini masih tidak kelihatan. Barisan Nasional dilihat berupaya membentuk kerajaan persekutuan bahkan mungkin akan mendapat dua pertiga majoriti dengan keadaan sokongan pengundi Melayu peratus keluar mengundi yang rendah.

Strategi perpecahan dalam kalangan parti-parti yang menentang Umno-Barisan Nasional, saya tidak nyatakan perpecahan parti pembangkang kerana terdapat juga parti dalam kalangan kerajaan yang menentang Umno-Barisan Nasional seperti parti Pas, Gerakan dan Bersatu memudahkan laluan Umno-Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan.

Jika sebelum ini (PRU14), Pas gagal memecahkan undi pembangkang untuk membolehkan Umno-Barisan Nasional tetap menerajui negara, kini (PRU15) Pas, Gerakan, Bersatu, (Perikatan Nasional) dan Keadilan, Amanah, DAP (Pakatan Harapan) tidak akan dapat mengalahkan Umno-Barisan Nasional melainkan undi-undi mereka ini dapat disatukan.

Untuk menewaskan Umno-Barisan Nasional, gelombang kedua Asal Bukan Umno (ABU) perlu berlaku, kali ini gelombang tersebut perlu lebih kuat lagi.

Parti-parti kecil seperti Pejuang dan Warisan yang dilihat bersendirian bertanding semasa Pilihan Raya Negeri Johor tempoh hari dilihat tidak mampu memberikan nilai tambah kepada Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional.

Undi yang diperoleh mereka tidak mampu membawa gelombang ABU seperti PRU14 yang lalu. Sebelum ini Pejuang pernah membuat kenyataan untuk bertanding sehingga 120 kerusi, sekiranya Pejuang dan Warisan turut sama ingin bergabung bersama parti-parti pembangkang dan parti yang menentang Umno-Barisan Nasional, parti-parti ini tidaklah perlu meminta kerusi yang banyak.

Perubahan pendekatan Umno-Barisan Nasional, ketidaksefahaman Pakatan Harapan

PRU 15: Gelombang Asal Bukan Umno atau Aku Bagi Umno?
Najib dilihat ‘mesra’ anak muda dengan menggunakan slogan ‘Malu Apa Bossku’

Selama saya mengikuti perkembangan Dato’ Seri Najib Razak, penasihat beliau bijak menyusun strategi dan menaikkan semula reputasi dan populariti beliau. Selepas PRU 14, beliau dilihat tidak lagi membawa isteri beliau bersama ke mana-mana waima kempen-kempen Pilihan Raya Negeri Melaka mahupun Johor.

Jelas, sebelum ini serangan terhadap isteri beliau juga sedikit sebanyak menjejaskan imej dan sokongan beliau. Kemudian, beliau dilihat ‘mesra’ anak muda dengan menggunakan slogan ‘Malu Apa Bossku’.

Selain itu, kempen pengeluaran RM10,000 KWSP beliau menyebabkan populariti dan strategi meraih sokongan kepada Umno-Barisan Nasional semula menjadi.

Jika sebelum ini Umno tumbang dengan semangat ABU, dengan pendekatan begini – rakyat akan kembali dengan tsunami ABU juga cuma kali ini ialah Aku Bagi UMNO (ABU).

Pakatan Harapan pula masih tidak berubah, bercakaran di media massa dengan kenyataan-kenyataan balas dari pada parti-parti gabungan. Ini menyebabkan imej Pakatan Harapan itu dilihat sentiasa tidak bersefahaman dan sering tidak bersatu.

Pakatan Harapan dilihat sibuk bertelagah isu Ketua Menteri Melaka secara terangan di media. Serangan media massa pula tidak seperti mana PRU 14 dan nampak lesu berbanding semasa trending ‘Kerajaan Gagal’ sebelum ini.

Selain itu, strategi untuk menjernihkan semula isu-isu Tabung Haji, Felda, Melayu dan sebagainya sepanjang 22 bulan dikritik dan tekan parti UMNO-Barisan Nasional dan PAS, tidak kelihatan berjaya.
Siapa Perdana Menteri selepas PRU15?

Jika dilihat sejarah pertukaran Perdana Menteri, rakyat seakan memberi peluang kepada Perdana Menteri yang baharu untuk membuktikan kepimpinannya.

Sebagai contoh, apabila Tun Abdullah Badawi mengambil alih tampuk pemerintahan negara, sokongan terhadap UMNO-Barisan Nasional meningkat naik. Begitu juga apabila Dato’ Seri Najib Razak pertama kali menjadi perdana Menteri, sokongan kepada UMNO-Barisan Nasional kembali meningkat.

Saya percaya rakyat akan memberi sokongan kepada Dato’ Sri Ismail Sabri untuk menerajui kepimpinan negara sekali lagi memandangkan beliau dilihat sebagai seorang yang ‘bersih’.

Namun apa yang berlaku di Johor, Dato’ Hasni tidak lagi menjawat jawatan Menteri Besar walaupun beliau Pengerusi Umno Negeri.

Ini menggambarkan bahawa kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri masih tidak terjamin kerana beliau bukanlah seperti kebiasaan tradisi Umno-Barisan Nasional – seorang Presiden parti yang menjadi Perdana Menteri.

Persoalannya ialah, adakah rakyat akan tetap memberi peluang kepada Umno-Barisan Nasional untuk menerajui kerajaan persekutuan seandainya Perdana Menteri bukan lagi Dato’ Sri Ismail Sabri?

Penulis ialah Pengurus di Nusantara Academy For Strategic Research, berpengalaman membantu pilihan raya serta berpengalaman membuat polisi, dasar kerajaan serta ucapan ahli parlimen.