Malaysia Dateline

PRU-15: Kit Siang saran letak lebih ramai anak muda dalam kepimpinan

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang hari ini menegaskan blok pembangkang perlu memberi tumpuan untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) susulan lulusnya Belanjawan 2021 semalam.

Penasihat DAP itu dalam kenyataannya berkata, bukan masanya untuk sekarang untuk pembangkang menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggapnya “tidak sah dan kabinet pintu belakang Muhyiddin”.

Beliau juga mengulangi saranannya bulan lalu berhubung pemilihan penuntut, Veveonah Mosibin sebagai Pengerusi Pasukan Tugas Khas Kerajaan Persekutuan-Kerajaan Negeri Sabah untuk menyelesaikan masalah sambungan internet di kawasan pedalaman Sabah bagi melancarkan proses pembelajaran atas talian semasa wabak Covid-19.

“Ini juga masanya untuk meletakkan lebih ramai anak muda dalam kedudukan kepimpinan memandangkan merekalah yang akan mengharungi cabaran masa hadapan negara kita.

“Saya mencadangkan bulan lalu supaya kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah menubuhkan pasukan petugas yang diketuai oleh Veveonah Mosibin yang berusia 18 tahun.

“Perkara ini pastinya mengejutkan sesetengah pihak, bagaimanakah sebuah pasukan tugas khas kebangsaan boleh diketuai oleh seorang gadis yang berusia 18 tahun,” jelasnya.

Saranan meletakkan lebih ramai anak muda dalam kepimpinan itu menurut Kit Siang mengambil kira era yang baharu pada masa ini.

“Kita perlu bersedia untuk menggunakan kaedah baharu untuk mengatasi masalah negara,” ujarnya.

Jika Veveonah memainkan peranan itu, ujarnya, Malaysia akan sekali lagi menjadi bualan di seluruh dunia kerana telah membuktikan negara menghargai sumbangan golongan muda, wanita, dan minoriti untuk bersama-sama menyelesaikan masalah negara.

“Tetapi, cadangan ini langsung tidak disambut oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.

“Persoalan boleh ditimbulkan, mengenai sama ada Veveonah yang berusia 18 tahun sesuai untuk mengetuai pasukan tindakan Kerajaan Persekutuan-Negeri untuk menangani jurang digital di pedalaman Sabah.

“Saya jawab; mengapa tidak? Dari kepetahan, keazaman, dan usahanya, bahkan beliau berusaha meluangkan 24 jam di atas pokok untuk mendapatkan akses internet yang lebih baik untuk menduduki peperiksaan dalam talian.

“Saya yakin sepenuhnya dengan kelayakan beliau untuk mengetuai pasukan tindakan ini untuk memerangi kemiskinan digital di pedalaman Sabah.

“Beliau akan mengetuai usaha untuk menyelesaikan masalah yang pernah dihadapinya sendiri,” ujar Kit Siang.

Menurutnya, sudah tiba masanya golongan milenial iaitu mereka yang dilahirkan antara awal 1980-an hingga awal 2000 diperkasakan.

Golongan usia itu, jelasnya, perlu diberi lebih banyak kepercayaan, tanggungjawab dan kuasa memandangkan 54 peratus rakyat Malaysia berusia di bawah 30 tahun dan sekitar 70 peratus rakyat negara ini berumur di bawah 40 tahun.

“Jadikan era ini sebagai era millenial — bermula dengan Veveonah Mosibin!” kata Kit Siang lagi.