Mengapa tajuk ini? Ini kerana kita menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam keadaan Barisan Nasional (BN) bersatu dan parti pembangkang tidak bersatu.
Maka, saya menulis untuk menunjukkan betapa mustahaknya perpaduan dan kerjasama elit bagi parti yang ingin menang dalam PRU ini.
Kajian Diamond dalam Developing Democracy Toward Consolidation dan Linz & Stepan dalam Problems of Democratic Transition and Consolidation telah menunjukkan konsolidasi elit adalah penting untuk menonjolkan imej perpaduan bagi mengekalkan rejim.
Tanpa imej perpaduan ini, harapan untuk menjatuhkan rejim pemerintah sukar kerana rakyat tidak percaya kepada parti yang gagal menjanjikan kestabilan dan perpaduan.
Di Malaysia, BN gagal memenangi hatta satu kerusi pun di Kelantan dalam PRU 1990 kerana imej perpaduan dan konsolidasi elit Pas dan S46 yang kuat.
Di Indonesia, gerakan reformasinya berjaya kerana elitnya tidak bersatu mendukung rejim Suharto.
Di Malaysia, BN berjaya mengekalkan pemerintahannya kerana keupayaan Tun Mahathir Mohamad menyatukan elit-elit politik BN untuk bersatu dan tidak melawan kepimpinannya.
Begitulah juga dengan PRU-15 kali ini. BN bersatu dan perpaduan inilah yang meyakinkan BN untuk membubarkan Parlimen. Pembangkang menolak untuk mengadakan pilihan raya kerana mereka tahu perpaduan sesama mereka rapuh.
Berjiwa besar
Alasan banjir tidak kukuh kerana sebelum ini, seingat saya, setelah cukup sahaja tempoh 36 bulan kerajaan berjalan, pembangkanglah yang memalu gendang untuk PRU diadakan.
Apakah BN ada harapan untuk menang? Biarpun banyak isu yang tidak menyebelahi BN, BN mempunyai peluang yang lebih besar jika pembangkang tidak bersatu.
Isu, manifesto, calon, kekuatan jentera parti dan lainnya penting dalam pilihan raya, namun konsolidasi elit dan imej perpaduan lagi penting.
Oleh itu, mustahak bagi pemimpin pembangkang untuk berkonsolidasi. Memang payah kerana masing-masingnya telah ada parut luka yang dalam.
Langkah Sheraton dan pengkhianatan lainnya adalah kesakitan yang tajam. Inilah cabarannya untuk pemimpin pembangkang.
Bagaimana untuk bekerjasama? Berjiwa besarlah dan mulakan langkah untuk sekurang-kurangnya ada electoral pact.
Dengan kerjasama elektoral sahajalah sekurang-kurangnya, PRU ini akan menjadi lebih menarik dan menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk negara tercinta ini.
PH, Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Warisan (Warisan) – sila duduk bersama dan berbincang.
Tidak perlu fikir tentang khemah besar, fikir tentang electoral pact sahaja. BN dan Pakatan Harapan (PH) semuanya masih ada masa sehingga hari pencalonan untuk berbuat demikian.
Ingatan saya kepada pemimpin pembangkang cuma satu: Jangan salahkan rakyat yang tidak tahu memilih jika gagal berkonsolidasi sekiranya BN menang lagi.
Baca juga Ekonomi dunia 2023 terus dijangka menguncup – Pakar ekonomi tanya ‘are we ready?”
Baca juga Tolak vaksin punya pasal, wanita pilih untuk kahwini lelaki lain