Malaysia Dateline

PRU-15: Muhyiddin bakal bertempur dengan banyak pencabar di Pagoh

Tan Sri MuhyiddinYassin akan menempuh persaingan sengit di Parlimen Pagoh jika kawasan tersebut berdepan dengan pertarungan pelbagai penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengarah Strategik DAP, Senator Liew Chin Tong berkata, Presiden Bersatu berkenaan tidak mendapat sokongan separuh undi Melayu daripada 65 peratus pengundi Melayu di kerusi tersebut.

Pengerusi DAP Johor itu juga berpendapat Muhyiddin juga gagal meraih sokongan 36 peratus pengundi bukan Melayu di Pagoh.

“Pada PRU-14, Muhyiddin berhadapan dua pencabar di Pagoh tetapi memperoleh undi 23,558 (45.7 peratus) daripada 43,667 orang pengundi (84.4%) yang keluar mengundi.

“Dia dicabar Ismail Mohamed (Umno) yang mendapat 16,631 undi (32.3 peratus) dan Ahmad Nawfal (Pas) dengan 2,483 undi (4.8 peratus),” katanya.

Sehubungan itu, Chin Tong menyifatkan Pagoh sebagai kerusi yang mempunyai risiko besar untuk Muhyiddin melainkan jika berlaku pertandingan dua penjuru.

Langsung tidak popular

Beliau menegaskan pertandingan tiga penjuru bakal mewarnai PRU-15 lantaran wujudnya situasi Three Kingdoms atau ‘San Guo’ (Tiga Kerajaan) dalam persaingan pilihan raya.

Jelasnya, Three Kingdoms merujuk kepada tiga kumpulan politik pasca Langkah Sheraton yang telah diterangkan dalam artikelnya sebelum ini.

“Saya tidak fikir Muhyiddin akan menjadi lebih popular dalam tiga bulan atau setengah tahun ini.

“Sukar untuk Muhyiddin betulkan keadaan dalam waktu singkat sehingga bulan Ogos. Meskipun dia popular pada Jun 2020, tetapi Bersatu tidak akan atau langsung tidak popular,” tegasnya.

Mengulas hubungan Bersatu-Umno yang dianggap semakin buntu, Chin Tong berkata, parti bunga itu hanya bergantung kepada sokongan Pas serta anggota lain dalam gabungan tiga parti Muafakat Nasional (MN).

Walau bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Kluang itu menyifatkan sokongan tersebut masih tidak mencukupi untuk Bersatu.

“Muhyiddin akan berpaut dengan Pas tetapi beliau tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Pas.

“Bersatu hanya ada 31 ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. Tanpa sokongan Umno dan Pas, agak sukar untuk menstabilkan kerajaan PN,” katanya lagi.