Malaysia Dateline

PRU-15: Pas Melaka harap dapat lebih tiga kerusi DUN, Parlimen

Pas Melaka menuntut sekurang-kurangnya tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen yang diyakini boleh menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pesuruhjayanya, Datuk Kamaruddin Sedik, berharap Pas tidak diberi hanya satu atau dua kerusi.

Menurutnya, beliau sudah memaklumkan hasrat itu sebelum ini, namun menyerahkan keputusan kepada kepemimpinan parti peringkat pusat menentukannya.

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh membuat desakan mengenai agihan kerusi tetapi berharap Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) perlu mengambil kira peranan Pas dalam hala tuju politik negeri ketika ini.

“Janganlah satu atau dua kerusi (diberikan kepada Pas). Itu terlalu rendah dan kita harap lebih daripada tiga kerusi termasuk satu Parlimen.

“(Kerusi) itu pun yang boleh menang sebab kalau kita tengok kepada pola politik sekarang, walaupun Pas tidak mempunyai kerusi di Melaka, kami dilihat berperanan besar sebagai ‘king maker’ dalam politik kerajaan ketika ini.

“Dalam keputusan Umno (mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi) semalam pun, mereka tetap ingin bersama Pas. Begitu juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Sebab peranan Pas ini penting untuk penyatuan orang Melayu,” lapor Berita Harian hari ini.

Sebelum ini, Kamaruddin yang juga Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka, dilaporkan berkata, Pas negeri tidak mempunyai masalah untuk menentukan pembahagian kerusi pada PRU-15 dan sentiasa meletakkan kepercayaan kepada gabungan kerjasama politik dalam MN serta PN.

Melaka memiliki enam kerusi Parlimen dan 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 2018, Pakatan Harapan (PH) buat pertama kali berjaya menawan Melaka.

BN ketika itu sekadar menang 13 kerusi DUN dan dua Parlimen iaitu di Masjid Tanah dan Jasin.