Malaysia Dateline

PRU-15: Pas minat dengan Umno atau PPBM?

Kerjasama antara parti politik dalam kerajaan hari ini, Umno, Pas dan PPBM untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang masih belum menentu.

Kalau parti pembangkang juga kalut dan cuba membentuk jajaran baharu, begitu juga dengan keadaan parti-parti dalam kerajaan khasnya tiga buah parti itu.

Walaupun Pas hari ini dilihat intim dengan PPBM, seperti mana ditunjukkan di Melaka, tetapi kerjasama itu seperti tidak menguntungkan Pas secara umumnya. Kalau Pas berkerjasama dengan Umno tempoh hari, sudah pasti Pas akan memperolehi sekurang-kurang dua kerusi di Dun Melaka.

Umno juga tidak boleh meninggalkan Pas seperti di Melaka. Di negeri-negeri lain, parti itu mahukan kerjasama Pas dan sangat mengharapkan bantuan Pas. Contohnya, Selangor.
Pengerusi Umno Selangor Noh Omar sangat mengharapkan Pas bekerjasama dengan mereka.
Noh yakin Umno – Pas dapat menguasai Selangor kalau pun tidak sampai berjaya bentuk kerajaan, tetapi kerusi akan bertambah sekiranya kedua-dua parti itu bermuafakat.

Di Selangor, Umno tidak berapa berminat dengan PPBM. Berbeza dengan di negeri di Pantai Timur Kelantan dan Terengganu. Umno nampaknya tergilakan Pas, tetapi Pas pula seperti menjual jual mahal.

Pas lebih suka kalau mereka bekerjasama dengan PPBM untuk Kelantan dan Terangganu. Sebabnya, pengaruh Umno di negeri itu tidak begitu menakutkan mereka.

Mengapa Pas lebih suka kepada PBBM, kerana mereka boleh mengatasi parti berkenaan. Dalam pembahagian kerusi kelak, Pas akan mendominasi kerusi berbanding dengan PPBM.

Lagi pun kedua-dua buah negeri itu kini diperintah oleh Pas dan kedudukannya pula agak teguh. Jika Pas bekerjasama dengan Umno tentu Pas kena bahagi kerusi sama banyak. Banyak tidak sedia melakukan kerana parti itu ada sedikit rasa tamak.

Berbeza dengan Pahang. Pas lebih berminat untuk bekerjasama dengan Umno berbanding dengan PBBM, kerana negeri itu dikuasai oleh Umno sementara pengaruh PBBM di Pahang kurang dan Pas juga dapat menghitung yang PBBM tidak kuat di Pahang sementara Pas sendiri tidak boleh berdikari seperti di Terenganu dan Kelantan.

Begitu juga dengan Kedah, Pas lebih berminat dengan Umno berbanding dengan PPBM. Kalau pun Pas teringin untuk bersama PPBM ialah di Johor disamping meneruskan kerjasama mereka seperti di Melaka. Di Negeri Sembilan, Pas lebih suka dan yakinkan kepada Umno. Hal sama juga di Perak.

Memahami pola dan senario itu, bahawa bentuk kerjasama antara Umno, Pas dan PPBM walaupun berada dalam satu komponen yang membentuk kerajaan, ia belum pasti.

Masih celaru. Dengan kedudukan tidak ketentuan itu mungkin pilihan raya akan datang menyaksikan pelbagai bentuk kerjasama politik yang paling unik.