Malaysia Dateline

PRU-15 Selayang: Bersatu mahu bertanding 2 kerusi

Gendang pilihan raya mula dipalu ke seluruh negara dengan semua parti-parti politik membuat persiapan termasuk menentukan kawasan yang hendak ditandingi dan calon masing-masing.

Bagi Bersatu Selayang, mereka bercadang untuk bertanding sekurang-kurangnya dua kerusi dalam pilihan raya umum akan datang, Parlimen Selayang dan juga DUN Kuang.

Menurut Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Selayang, Morzailan Ismail, beliau sendiri dan Ketua Bahagian Datuk Azman Yaakob akan mewakili parti ke kedua-dua kerusi itu.

“Berdasarkan senioriti dalam parti, kami berdua akan mewakili parti. Jadi kalau kami dapat dua kerusi, saya dan Datuk Azman akan bertanding.

“Kalau satu sahaja, Datuk Azman akan bertanding,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Pas, kata Morzailan, akan bertanding kerusi Taman Templer manakala Gerakan pula jika perlu bertanding akan diperuntukkan kerusi DUN Rawang.

“Pas nampaknya minat untuk kerusi Taman Templer sahaja,” kata beliau lagi.

Dalam PRU-18 lalu, Pas meletakkan Mohd Fauzan Madzlan sebagai calonnya di Kuang namun kalah kepada calon Pakatan Harapan dari Bersatu Sallehuddin Amiruddin.

Kini Sallehudin meninggalkan Bersatu dan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Pejuang.

Menurut satu sumber yang lain pula, Choy Pooi Yee @ Jessy, bekas ahli Majlis Perbandarang Selayang yang kini menyertai Bersatu, dikatakan berminat untuk bertanding di Rawang.

Di pihak Pakatan Harapan pula, PKR dijangka akan meletakkan calonnya di Parlimen Selayang dan DUN Kuang, AMANAH di Taman Templer manakala Rawang masih menjadi rebutan antara DAP dan PKR.

Dalam PRU-14 lalu, calon PH dari PKR William Leong menang di Parlimen Selayang, calon AMANAH Sany Hamzan menang di DUN Taman Templer manakala calon PKR, Chua Wei Kiat menang di Dun Rawang.