Malaysia Dateline

PRU-15: Ulama Pas cadang lebihkan agihan kerusi kepada Umno

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik menyarankan agihan kerusi bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) memberi kelebihan kepada Umno.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu juga berkata, agihan kerusi antara partinya dan Bersatu pula adalah sama.

Menurutnya, pembahagian tersebut bagi mengelakkan wujudnya situasi ‘abang long’ yang mendominasi blok anti DAP dan Pakatan Harapan (PH) itu.

“Kalau pun nak agihkan kerusi saya cadangkan 40% + 30% + 30%. Mungkin kerana Umno lebih ramai ahlinya dan lebih besar saiznya maka kita berikan 40%.

Mokhtar Senik

“Dengan pembahagian itu setiap parti akan memerlukan dua parti rakannya. Tujuannya agar tidak berlaku dominasi yang memburukkan gabungan dan kerjasama. Itu sekadar pengamatan saya,” katanya.

Untuk rekod, Umno mempunyai kerusi Parlimen paling banyak dengan 39 kerusi diikuti Bersatu (31) dan Pas hanya 18 kerusi.

Pada masa ini, Pas berada dalam dua ‘kolam’ politik apabila dilihat berada dalam dua gabungan parti politik yang saling bermusuh.

Wujud krisis politik yang meruncing antara Umno iaitu parti yang membentuk gagasan bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN) pada 2019 dengan Bersatu yang sedang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam majoriti hanya 109 sokongan ahli Parlimen.

Mokhtar yang juga bekas Ketua Ulama Pas Pahang itu menasihatkan jangan sesiapa bersikap untuk menjadi ‘abang long’ walau apa berlaku dalam PN dan MN.

Tegasnya, Umno, Pas dan Bersatu jangan sekali-kali mengambil sikap mahu bersendiri.

“Siapa pun yang jadi abang long dia tetap tidak akan mampu hidup sendiri tanpa abang ngah dan abang chik.

“Tiada siapa yang akan menang dan menjadi kerajaan jika bersendiri kecuali keluar dari PN atau MN, dan menjual diri dengan harga yang murah kepada DAP dan PH,” tegas Mokhtar lagi.

Walaupun melaungkan perpaduan ummah, Pas berkeras menolak penjajaran politik dengan DAP dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta semestinya AMANAH.