Malaysia Dateline

PRU-15: Umno-Pas tidak bertembung, pembahagian kerusi selesai 80 peratus

Ketua Dewan Ulamak Pas, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, parti mereka sudah bersedia dari semua aspek termasuk pembahagian kerusi dengan Umno mengikut persefahaman dalam Muafakat Nasional (MN).

Beliau yang menjangkakan PRU-15 diadakan Mac tahun depan berkata, pembahagian kerusi dengan Umno sudah banyak diselesaikan.

“Pembahagian kerusi Umno dan Pas sudah selesai (kira-kira) 80 peratus secara mudahnya (selesai). Tinggal Umno dengan Bersatu sahaja ada konflik sikit,” lapor PNBBC semalam.

Nik Muhammad Zawawi Salleh

Untuk rekod, Umno pada masa ini memiliki kerusi paling banyak dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan 39 kerusi Parlimen diikuti Bersatu (31) dan Pas hanya 18 kerusi.

Nik Zawawi turut memaklumkan Pas dan Umno tidak akan bertembung kerusi sama ada di Parlimen atau pun Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Macam mana hendak bertembung sebab kita sudah ada perjanjian.

“Apabila peringkat pusat buat keputusan, kena patuh kerana watikah sudah ditandatangani. Kalau nak masuk (bertanding) juga bertandinglah bebas,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan Nik Zawawi berhubung pembahagian kerusi selesai kira-kira 80 peratus itu dilihat bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa pada 12 Disember lalu.

Kata Annuar, BN dan BN akan mengadakan rundingan pembahagian kerusi minggu ini.

Dalam masa sama, Nik Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata, PRU-15 perlu disegerakan bagi menyelesaikan semua kemelut yang melanda negara ketika ini.

Bagaimanapun, Pas katanya, ada sebab tersendiri untuk menggunakan logo parti mereka dalam menghadapi PRU-15.

Menurutnya, ia merupakan kata sepakat yang dicapai hasil perbincangan bersama bersama pimpinan Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Setakat ini kita buat keputusan guna logo masing-masing berdasarkan sebab dan hujah sendiri,” tambahnya lagi.